Wednesday, April 9, 2014

ALHAMDULILLAH BERSYUKUR KE HADRAT ILLAHI .... PARTISAN : SPM TAHUN KEDUA SEJARAH TERCIPTA



Ya Allah ... Diam tak diam sudah lebih setahun aku tidak mengupdate blog aku ... Sungguh pantas masa berlalu ... Alhamdulillah ... masih diberi kesempatan untuk terus menabur budi dan bakti di SESTA, bumi bertuah ini ... Pada tanggal 20 Mac 2014 yang lalu, keputusan SPM telah diumumkan secara rasmi ... Alhamdulillah SM Sains Tapah mengekalkan tempat kedua kedudukan SPM bagi negeri Perak bagi tahun kedua berturut-turut ... Subjek Sejarah yang dijadikan subjek wajib lulus mulai 2013 ... Cabaran baru bermula ... kertas 3 mula menjengah ... open book test mula diperkenalkan ... Alhamdulillah ... SESTA telah membuat sejarah dengan 100% calon mendapat A bagi subjek sejarah yang aku ajar bersama dengan cikgu murniza.... iaitu seramai 107 A+, 80 A dan 4 A- ... Tiada yang lebih berharga dan bernilai bagi seorang guru daripada melihat kejayaan anak didik mereka ... Di kalangan SBP hanya SESTA dan SM Sains Sabah sahaja merupakan sekolah yang mendapat 100% A bagi subjek sejarah SPM 2013.... Syukur ... Sekali lagi sejarah tercipta dicoret dengan tinta emas.

Tidak dinafikan cabaran dalam mempersiapkan diri mereka dalam menempuh cabaran SPM 2013 sukar diungkap dengan kata-kata ... Proses PdP di dalam kelas, kelas bestari, program smart touch, perkampungan ilmu, kelas subuh, program IM4U ( Izaheri Murniza For U ) .... diselang seli dengan derai tawa tak kurang juga linangan air mata ... kata-kata nasihat, dorongan, galakan, teguran sentiasa mencoret warna-warni persiapan mereka.... pernah sekali semasa bulan Ramadhan teguran ku telah menyedarkan mereka, dan bagi ku malam tersebut merupakan turning point bagi kebangkitan mereka .... Alhamdulillah... pengorbanan mereka akhirnya membuahkan kejayaan gemilang ... Terima kasih PARTISAN ... Terima kasih buat segala kenangan ... Semoga terus berjaya dan tabah dalam meneruskan perjuangan dan meniti hari-hari mendatang ... Semoga Allah permudahkan segala urusan kalian di dunia dan di akhirat ... Percayalah doa cikgu-cikgu SESTA sentiasa mengiringi perjalanan hidup kalian .... Terima kasih buat segalanya ... Mr Izaheri mengundurkan diri .... Malaysia, Tanah Tumpahnya Darah ku ... Assalamualaikum Waramatullahiwabarakatuh

Saturday, March 23, 2013

ALLSENSPIRES : SPM PERTAMA MENGUKIR KENANGAN TERINDAH




Membuka kembali lipatan memori yang telah disimpan kemas di dalam hati, pada tanggal 21 Mac 2012 apabila keputusan SPM 2012 diumumkan SESTA (Sekolah Menengah Sains Tapah) telah dinobatkan sebagai sekolah kedua terbaik di negeri Perak  dalam penyertaan sulungya di gelanggang peperiksaan awam negara. Dewan SESTA juga telah diberi penghormatan dijadikan sebagai tempat pengumuman keputusan SPM bagi negeri Perak..... Nah, nama SESTA telah menggegarkan segenap pelusuk negara dalam siaran berita perdana mahupun paparan akhbar pada keesokan harinya. Seramai 40 pelajar mendapat straight A dalam semua mata pelajaran dan 2 daripada mereka mendapat 9A+ iaitu saudara Zulafifi dan Nurul Syazmeen. Alhamdulillah ...Subjek sejarah juga mencatat keputusan yang memberangsangkan dengan 115 pelajar  mendapat A+, 48 A, 21 A- dan 6 B+ dengan 0.57 (PNG).

Secara jujurnya batch ini iaitu Allsenspires amat dekat di hati ku. Sebagai guru opsyen sejarah yang pertama di sini,  buat pertama kali dalam sejarah perguruanku juga aku telah mengajar mereka satu batch. Masih terbayang wajah-wajah suci mereka pada awal tahun 2011 apabila aku memasuki kelas 4A,4B,4C,4H,4I,4L dan 4R. Buat pertama kali juga aku mengajar pelajar-pelajar perempuan sesuatu yang tak pernah aku lalui sebelum ini, namun berkat darah pendidik yang mengalir dalam diri ini aku dapat laluinya dengan tenang. 

Terlalu banyak kenangan suka, duka, pahit dan manis yang telah aku lalui bersama mereka. Bukan sedikit air mata yang tumpah baik bagi diri ku dan mereka dalam merealisasikan matlamat kecemerlangan dalam SPM. Jiwa ku telah cukup sebati dan abadi dengan tingkah laku dan karenah mereka. Segala bentuk nasihat, teguran, dorongan ku terhadap mereka tidak lain dan tidak bukan hanya untuk mengajar serta membentuk keperibadian dan keyakinan mereka untuk berhadapan dengan realiti kehidupan yang sebenar. Sebagai Penyelaras Tingkatan 5 ibarat Mentor kepada mereka, aku berusaha untuk memastikan anak-anak didik ku ini berada di landasan yang betul...Alhamdulillah...mereka mendengar nasihat ku dan menyahut cabaran ku kepada mereka....ibarat pepatah Melayu ada berkata ..."Susah senang kehidupan adalah warna-warna yang akan mencorakkan pengalaman."

Masih terngiang-ngiang ucapan perpisahan ku kepada mereka semasa Grand Dinner di Dewan Merdeka ..."Selepas ini, cikgu pasti ada antara anda yang bakal menjadi pendidik yang berjiwa besar, doktor berwibawa, jurutera yang hebat, usahawan yang berjaya dan mungkin ada yang bergelar Dato mahupun Tan Sri. Namun ingatlah, kejayaan di dunia ini bukanlah segala-galanya. Sekiranya sudah berjaya dan berharta kelak, jangan kalian lupa tanggungjawab sebagai insan dan janganlah kalian lupakan guru-guru yang telah membentuk dan menjadikan kalian sedemikian rupa."

Begitu pantas masa berlalu, masih terbayang keriuhan, gelak ketawa, arena perdebatan dengan mereka semasa proses P&P dilaksanakan.  Bilik kelas, Bilik Seminar, Pusat Sumber Bestari serta Dewan Sesta menjadi saksi perjuangan kami semua....Sekalung penghargaan dan tahniah buat semua warga Allsenspires atas pencapaian cemerlang dalam SPM 2012. Cikgu berbangga kerana pernah mengisi sebahagian daripada perjalanan hidup kalian semua. Semoga terus sukses dan tabah dalam meniti hari-hari mendatang. Ternyata buku "hikayat Allsenspires"  yang kalian serahkan pada cikgu akan disimpan kemas untuk tatapan dan memori cikgu suatu hari nanti. Ternyata kesudahan hikayat tersebut telah diwarnai dengan tinta emas pada tanggal 21 Mac 2012....Terima kasih Allsenspires ...cikgu mengundur diri.

Monday, February 18, 2013

Jangan Pisahkan Aku dengan BUKU ....

Antara novel  kesayangan ku
 
Alhamdulillah dalam meniti usia, aku berpeluang memiliki beberapa buah buku yang amat berharga untuk dijadikan tatapan dan koleksi khazanah ilmu. Aku memang mengaku yang aku ni ULAT BUKU....disamping tu aku juga kaki game, bermula daripada game & watch, brick game sampai la PS 1, PS2 dan lani aku layan PS3...he he he . Semasa kecik aku memang minat baca buku komik BUJAL dan majalah Gila-Gila esp kalau aku pegi rumah mak sedara aku dekat Malim Nawar. Aku juga layan komik pada masa tu, aku cukup tertarik dengan pelukis "KHUZAE" memang terbaik lukisan dia. Masa kat  Jenan time tu bebudak dok gila baca majalah roda-roda dan arena gusti. Aku jugak time tu memang minat baca buku seram, siri favourite aku " bercakap dengan Jin oleh Tamar Jalis dan karya-karya Tok Awang Ngah ... memang time tu genre seram menguasai pasaran...senang nak dapat esp kat kedai buku mamak.

Masuk UKM, minat aku mula beralih kepada karya-karya biografi dan sejarah khususnya nasionalisme dan arkeologi. Time tu memang teruja sangat tengok koleksi sejarah punya la banyak kat TSL dan KAT (koleksi Asia Tenggara). Selain meminjam daripada TSL, aku juga mula membeli buku-buku sejarah untuk dijadikan sebagai koleksi. Sebahagian besar koleksi sejarah aku adalah terbitan DBP. Terkadang aku pegi ke DBP carik buku-buku lama, ataupun pegi ke Pustaka Ghani Ngah di Medan Gopeng...setakat ni kunjungan ku tidak pernah mengecewakan. Aku juga banyak menghabiskan wang dengan melabur di MPH dan Popular. Kunjungan wajib saban tahun pulak sudah semestinya Pameran Buku Antarabangsa Kuala Lumpur ...ini merupakan syurga bagi ulat-ulat buku cam aku ni. Antara tapak wajib aku pergi adelah sudut-sudut ilmiah macam penerbit UKM, UM, USM....genre yang aku carik biografi dan sejarah....semenjak ade perkhidmatan ETS lagi mudah lone ranger macam aku ni nak ke sana.

Antara koleksi biografi yang aku ade kesemua biografi perdana-perdana menteri Malaysia, Natrah, Kanang anak Langkau, Ahmad Boestaman, Burhanuddin Helmy, Dato Onn Jaafar, Pejuang-pejuang radikal cam Abdullah CD, Shamsiah Fakeh, Rashid Maiden, Chin Peng, Seniman Negara Tan Sri P Ramlee, Jins Shamsudin dan banyak lagi. Aku juga mempunyai koleksi-koleksi novel sejarah oleh penulis terkenal siapa lagi kalau bukan  Abdul Latip Talib. Aku juga mengumpul hasil penulisan pensyarah UPSI terkenal iaitu Dr Talib Samat...yang paling aku suka novel Tengku Menteri. Aku juga mengumpul koleksi mentor ku iaitu Allahyarham Prof Nik Anuar Nik Mahmud ( hampir semua karya beliau aku miliki ).  Aku juga amat meminati pemulisan Prof Ramlah Adam khususnya biografi dan sejarah politik di Tanah Melayu. Koleksi aku juga merangkumi buku-buku yang membicarakan isu-isu seperti zaman darurat, perang dunia kedua,al arqam, al maunah, tragedi memali, perjuangan pattani dan banyak lagi yang tak sempat aku coret di sini. Aku juga memiliki buku Noli Me Tanggere (karya Jose Rizal)...ini buku kesayangan aku walaupun ade orang nak beli daripada aku.

Aku juga berminat mengumpul buku-buku tentang Yahudi, Freemason....segalana bermula apabila aku mengambil kursus ZT di UKM dengan Prof Sulaiman Noordin (ayah kepada penyanyi Yassin) serta setelah membaca buku bidak catur di papan iblis...sejak itu aku mula memiliki buku-buku berkaitan, buku terbaru dalam koleksi ku adalah 69 jam di neraka Zionis. Aku juga mengumpul buku yang berkaitan dengan arkeologi dan arkeologi prasejarah. Tidak dilupakan buku-buku agama tersusun kemas di rak buku. Koleksi juga merangkumi koleksi komik karya penulis seperti Ujang, Cabai dan koleksi Gila-Gila. Aku juga mengumpul komik-komik Doraemon...he he he. Dua novel yang cukup aku sayangi adalah SALINA dan RANJAU SEPANJANG JALAN. Buku-buku terbitan Arkib negara Malaysia seperti koleksi Hari Ini Dalam Sejarah serta terbitan lain juga menjadi koleksi peribadi ku. Jangan tak tahu aku juga memiliki kesemua novel Harry Potter ....he he he.

Alhamdulillah, dalam usia menginjak ke 40 an, aku berkesempatan dan diberi peluang untuk memiliki dan membaca koleksi-koleksi buku ku yang amat berharga. Impian aku untuk membuat bilik bacaan di rumah ku akhirnya tercapai. Bagi yang ulat buku macam aku pasti tahu keseronokan membaca buku berbanding membaca bahan-bahan di internet...hanya jauhari mengenal manikam...itulah sedikit coretan pengalaman dari ku sepanjang berkasih dengan buku ... banyak lagi buku-buku aku tak sempat dinyatakan di sini, mungkin di lain masa aku boleh review buku-buku kesayangan aku ...SELAMAT MEMBACA...

Tuesday, February 5, 2013

Kenangan bersama Makcik Kuih .... Pengganti Ibu Kami

Gambar Makcik Kuih pada 2008 di rumah beliau




Makcik Kuih merupakan insan yang istimewa dan dekat di hati budak Jenan. Beliau ibarat pengganti buat ibu kami. Sifat keibuan dan keramahan beliau sedikit sebanyak menghilangkan kerinduan aku terhadap ibu ku. Siapakah empunya diri makcik kuih ni? Beliau merupakan wanita yang pada setiap petang akan datang ke blok asrama membawa bersama jualan seperti bihun goreng, nasi goreng, laksa dan karipap....Menu favourite aku adalah bihun goreng + kuah laksa dan karipap. Kuah laksa tu makcik simpan dalam tin .... kadang2 kuah dah abis, tapi laksa ade lagi...makcik tak pernah berkirapun...biasanye dia mai kat Satria lepaih asaq, dok kat S3 sebelah water cooler ...aku boleh dikatakan pelanggan tetap ( hampir setiap hari )....sambil kami dok makan kat tangga tu, sambil dok sembang ngan makcik kuih ....bulan posa lak, makcik ni datang jual lauk macam sambal telur dan sambal kerang ... 


Namun segalanya berubah pada tahun 1990 ( semasa aku berada di Tingkatan 4)...Pengetua kami pada masa itu Allahyarham Haji Ramli Mohd Noh telah menghalang terus makcik ni dari meniaga lagi kat JENAN (sedangkan makcik kuih dah berniaga kat Jenan hampir 20 tahun )....bermula saat itu kami, budak-budak Jenan  terasa kehilangan ...dan hari-hari petang kami terasa sepi tanpa kelibat makcik kuih disisi....Satu insiden menarik semasa aku berada dalam Tingkatan 3, pada malam minggu kami telah dijemput oleh makcik Kuih ke rumah beliau untuk Majlis Kenduri Kesyukuran...selepas solat Isyak, kami berjalan kaki bergerak ke rumah makcik kuih dekat pekan Tanah Merah (bandar Darulaman sekarang)....ditengah perjalanan kami telah diambush oleh warden yang beranggapan kami cross (istilah FLY bagi budak Jenan)...rupa2nya ustaz (juga warden) lupa memberitahu mereka yang kami telah mendapat kebenaran ...he he he ... terbaik!

Begitulah secebis kenangan bersama makcik kuih ... belum berkesempatan menziarahi beliau ...semoga beliau terus sihat dan berbahagia disamping keluarga tercinta....Terima kasih makcik kuih kerana beri peluang kepada kami menumpang kasih ....

Saturday, February 2, 2013

nilai telur goreng ....

 

Pagi tadi semasa bersarapan di Tapah, aku disaksikan dengan satu insiden pergaduhan antara dua adik beradik kerana berebutkan telur goreng...akhirnya perang itu ditamatkan setelah campurtangan PBB (Ayah dan mak bebudak tersebut)...Insiden itu telah mengimbau satu pengalaman menarik ku semasa melakukan ekskavasi kajian arkeologi di Kota Kuala Kedah, Kedah pada tahun 1998. Sebagai lulusan arkeologi dari UKM, aku berpeluang terlibat dalam satu projek besar di Kota Kuala Kedah. Kisah yang ingin aku sampaikan ini merupakan satu kisah yang tak dapat aku lupakan sampai bila-bila. Aku tidak berniat untuk menceritakan tentang kajian arkeologi tersebut (mungkin di lain masa), tetapi satu peristiwa yang cukup menginsafkan ku. Aku terlibat dengan kajian itu agak lama, hampir 3 bulan. Pada satu hari, aku melihat seorang murid berlari-lari menuju ke rumahnya setelah tamat persekolahan. aku terus bertanya kepada Pak Un (penduduk tempatan) tentang peristiwa tersebut.

Menurut Pak Un, sudah menjadi kebiasaan murid tersebut akan berlari laju-laju pada setiap hari Rabu pulang dari sekolah, kerana pada setiap hari Rabu ibu murid tersebut akan menghidangkan telur goreng. Hanya kerana telur goreng, anak tersebut lari berkejaran bagi menikmati menu istimewa daripada ibunya. Ibu yang ditinggalkan suami terpaksa menyara anak-anaknya dengan kesederhanaan.Ade masanye si ibu hanya mampu menghidangkan kepala ikan bilis kepada si anak, namun si anak mengeluh tidak sama sekali.... Aku tidak mampu menahan air mata ku dari tumpah apabila mendengar perkhabaran tersebut. Terlintas terbayang wajah si ibu yang tabah membesarkan anak-anaknya. Hari-hari mendatang berkesempatan berkenalan dengan murid tersebut dan membantu apa yang termampu oleh ku pada ketika itu. Ternyata anak itu merupakan anak yang bertuah dan bijak.  Betullah kata pujangga kasih ibu sampai ke syurga.Semoga Allah terus merahmati keluarga bahagia tersebut.  Berkesempatan berkelana di kampung nelayan tersebut walaupun sementara telah banyak mendewasakan dan mematangkan aku dalam berhadapan dan mengajar erti kepayahan dan kesusahan dalam menempuh kehidupan hari-hari mendatang.

Friday, January 18, 2013

Selamatkan Palestin ....




Tanggal 15 Mei 1948 merupakan peristiwa hitam bagi rakyat palestin dan ummat manusia amnya kerana pada tarikh ini dengan rasminya tertubuh negara haram Israel. Peristiwa ini dikenali sebagai Nakhbah Palestin yang merujuk kepada penubuhan negara haram Israel. Nakhbah bermaksud "malapetaka atau bencana besar".

Peristiwa ini bermula dengan terlaksananya kependudukan dan penjajahan haram oleh regim zionis ke atas tanah dan penduduk asal negara Palestin secara terancang dengan bantuan PBB dan British.

KEZALIMAN DAN KEKEJAMAN REGIM ZIONIS ISRAEL

Negara yang dahulunya aman dan diperintah dengan penuh adil telah dijajah dan diperintah regim zionis dengan berbagai bentuk kekejaman dan kezaliman.

Bumi Palestin pada tahun 1914 diduduki oleh 82% penduduk Islam, 10% kristian dan hanya 8% yahudi yang hanya memiliki 2% tanah. Namun enam dekad berlalu (1948 - 2010), pelbagai kezaliman besar yang dilakukan regim zionis Israel sehingga bumi Palestin porak peranda dan penuh dengan kemusnahan. Sebab utamanya adalah angkara regim zionis yang menceroboh bumi Palestin.

Pada 1947, melalui Resolusi 181 Pelan Pembahagian PBB yang ditolak oleh Palestin telah secara paksa merampas hak penduduk peribumi dan memberikan 55% tanah kepada Yahudi yang sebelumnya tanah milik Yahudi hanya sekitar 6.5% dari keseluruhan bumi Palestin dan orang Yahudi hanya memiliki sebanyak 291 penempatan di tanah milik mereka yang sedikit itu.

Peristiwa Nakhbah (1948) menjadi titik tolak pengusiran rakyat Palestin seramai 750,000 orang dari bumi mereka sendiri dan kini lebih 5 juta rakyat Palestin tinggal di kem-kem sementara di dalam mahupun di luar Palestin. Manakala orang Yahudi di tanah Palestin kini berjumlah 7.33 juta.

Pada tahun 2002, Israel membina tembok pemisah sepanjang 721km menyebabkan 60,500 rakyat Palestin di 42 kampung dan bandar dipaksa berada di kedudukan 'no-man's-land'. Mereka terkurung dan terpisah dari sumber rezeki dan dunia luar.

Pada tahun 2006, Israel melakukan sekatan terhadap Gaza sehingga rakyat palestin terputus pelbagai bekalan keperluan asas seperti makanan, perubatan dan pendidikan.

Pada akhir 2008 pula, sewenang-wenangnya regim zionis menyerang dan membedil Gaza walaupun masyarakat dunia bangun menentang. Lebih 5,000 terbunuh dan 40,000 luka dan parah. Apakah lagi kezaliman yang akan dilakukan zionis Israel?

AL-AQSA DAN UMAT ISLAM

1. Bagi umat Islam, Palestin merupakan tanah yang dirahmati Allah. Ia merupakan kiblat pertama umat Islam sejak solat diwajibkan pada malam Isra' dan Mi'raj. sehinggalah Allah memerintahkan Rasulullah SAW menghadap ke arah Masjidil Haram sebagai kiblat selepas Masjjidil Aqsa dengan firman Allah :

"Dan dari mana sahaja kamu (Muhammad) berangkat, maka hadapkanlah wajahmu  ke arah Masjidil Haram. Dan di mana sahaja kamu berada, maka palingkanlah wajahmu ke arahnya." (Al-Baqarah : 150)

2. Palestin merupakan negeri Isra' Mi'raj, Palestin merupakan negara istimewa kerana telah menjadikan Baitul Maqdis destinasi terakhir perjalanan Isra' di bumi dan permulaan perjalanan mi'raj ke langit.

"Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambanya (Muhammad SAW) pada malam hari dari Masjidil Al-Haraam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."  (al-Isra :1)."

3. Terletaknya Baitul Maqdis iaitu kota besar islam ketiga. Kota besar Islam yang pertama terletak di Mekah dengan adanya Masjidil Haram, manakala kota besar Islam yang kedua adalah Madinah yang dimuliakan dengan adanya masjid Nabawi dan makam Rasulullah SAW  manakala kota besar Islam yang ketiga adalah baitul Maqdis yang dimuliakan Allah dengan adanya Masjidil Aqsa serta kawasan sekelilingnya yang diberkati.

4. Negeri kenabian dan keberkatan. Kerana negeri inilah telah lahirnya ramai para nabi seperti Nabi Ibrahim AS, Nabi Ishaq AS, Nabi Ismail AS, Nabi Yaakub AS, Nabi Musa AS, Nabi Isa AS, nabi Daud AS, Nabi Sulaiman AS dan ramai lagi.

5. Negeri perjuangan. Palestin juga dikenali sebagai buni jihad kerana di situ, terletaknya umat Islam yang teguh berjuang menegakkan kebenaran sehingga hari kiamat,

Sabda Rasulullah SAW " Sekelompok dari umatku akan tetap berada dalam kebenaran yang nyata dan akan mengalahkan musuh-musuh mereka kecuali apabila mereka ditimpa kesusahan, sehingga datang pertolongan dari Allah dan keadaan mereka kembali seperti sedia kala. Para Sahabat bertanya, " Di manakah tempat mereka itu ya Rasulullah SAW?" Baginda menjawab "Di Baitul Maqdis dan di sekitar Baitul Maqdis." .... Hadis diriwayatkan oleh Abdullah ibnu Ahmad dalam Musnad Ahmad.

Kesimpulannya, bumi Palestin dan rakyatnya perlu dibela. Keganasan regim zionis Israel perlu ditentang agar kemusnahan dan kezaliman dapat dihentikan.


SUMBER : AQSA SYARIF

Monday, January 14, 2013

Aku BUDAK MEI ...... 1 MEI lagi OK .... :)

Lepaih balik sekolah satni, aku ambik inskripsi aku, belek punya belek terjumpa catatan tentang kajian rahsia mengenai bulan kelahiran dan sikap yang telah dijalankan oleh Prof Dato' Dr Fadzilah Kamsah... aku teliti sedalam-dalamnya, memang sedikit sebanyak ade kebenaran kajian mengenai bulan tersebut dengan sikap aku, tidak terkecuali kawan2 dan anak-anak didik ku yang lahir dalam bulan yang sama  ..... he he he .... yang mana satu ...BIARLAH RAHSIA ... 

MEI

  • Keras hati dan degil
  • Kuat bersemangat dan bermotivasi tinggi
  • Pemikiran yang tajam.
  • Mudah marah apabila tidak dikawal.
  • Pandai menarik hati dan perhatian orang lain.
  • Perasaan yang amat mendalam.
  • Cantik dari segi mental dan fizikal.
  • Tidak perlu dimotivasikan.
  • Tetap pendirian, tetapi mudah dipengaruhi oleh orang lain.
  • Mudah dipujuk.
  • Suka berangan.
  • Kuat berfirasat memahami apa yang terlintas di hati orang lain  tanpa diberitahu.
  • Bahagian leher dan telinga mudah diserang penyakit.
  • Daya khayalan yang tinggi.
  • Pemikiran yang tajam.
  • Pandai berdebat.
  • Fizikal yang baik.
  • Kelemahan sistem pernafasan.
  • Suka sastera, seni & muzik serta melancong.
  • Tidak berapa suka duduk di rumah.
  • Tidak boleh duduk diam.
  • Tidak punya ramai anak.
  • Rajin dan bersemangat tinggi.
  • Agak boros.
Mungkin anak murid aku boleh menilai yang mana kategori aku .... he he he .... tapi yang paling PENTING ....tiada manusia yang sempurna kerana ....KESEMPURNAAN ITU MILIK ALLAH SWT....

Sunday, January 13, 2013

Syarat Keperibadian Seorang Guru

 
Terdapat beberapa syarat yang telah digariskan oleh Imam Al-Ghazali yang menjurus kepada keperibadian guru sebagai penyampai ilmu pengetahuan kepada para pelajarnya. Antara syarat-syaratnya ialah :

1. Sabar menerima pelbagai masalah pelajar dan menerimanya dengan baik.

2. Sentiasa bersifat kasih sayang dan tidak pilih kasih.

3. Jika dia duduk hendaklah dengan bersopan dan tunduk serta tidak riak.

4. Tidak takbur (sombong) kecuali terhadap orang zalim iaitu dengan tujuan mencegah tindakan zalim tersebut.

5. Bersifat tawaduk dalam perbincangan.

6. Sikap dan perbicaraan bersungguh-sungguh.

7. Menanam sifat bersahabat dalam dirinya terhadap semua pelajarnya.

8. Bersabar dan tidak mengherdik pelajar yang bodoh.

9. Membimbing dan mendidik pelajar yang lemah dengan cara sebaik-baiknya.

10. Berani berkata 'saya tidak tahu" terhadap masalah yang dia tidak fahami.

11. Menampilkan hujah yang benar apabila berada dipihak yang salah dan bersedia kembali kepada kebenaran.

Marilah kita renung-renungkan wahai warga pendidik....Selamat Beramal .... :)

Wednesday, January 9, 2013

Aku dan Idola ku : Allahyarham Tun Haji Abdul Razak (1923 - 1975) : Bapa Pembangunan Negara




Petang semalam, usai kelas PdP sejarah ting 5R, sempat berbual dengan pelajar yang ingin tahu mengapa aku jadikan mantan PM Malaysia sebagai idola ku dan rasional mengapa Allahyarham yang ku pilih...Oklah, aku ingi bercerita serba sedikit mengenai Allahyarham berdasarkan pengetahuan aku, sudah tentu ini adalah dari sudut pandangan peribadi ku...

Allahyarham Tun Razak, aku anggap sebagai  salah seorang arkitek pembangunan negara yang terpenting. Ini dapat dibuktikan dengan arah aliran dan corak perkembangan politik dan ekonomi negara, khususnya pasca peristiwa 13 Mei 1969. Ternyata beliau telah memberi sumbangan besar dalam mempastikan kestabilan politik dan pembangunan ekonomi Malaysia. Wawasan beliau dalam menempatkan malaysia sebagai negara yang maju dan disegani diperingkat antarabangsa wajar dicontohi.

Anak kelahiran Pulau Keladi, Pekan, Pahang pada 11 Mac 1922. Walaupun beliau lahir dalam keluarga bangsawan, namun beliau menjalani kehidupan yang susah sebagaimana yang dilalui oleh anak-anak kampung yang lain. Beliau telah menjadikan ayahnnya sebagai idola dan sumber inspirasi dalam meniti perjuangannya. Memulakan pendidikan formal di Sekolah Umum Langgar, beliau amat cemerlang di dalam kelas dan seorang yang gemar membaca. Seorang yang dikatakan pendiam dan pemalu  di sekolah agak berbeza dengan sikap peramahnya di rumah. Setelah tamat darjah 4 ketika berusia 12 tahun, beliau telah melanjutkan pelajaran ke Kolej Melayu Kuala Kangsar pada 1934. Beliau telah muncul sebagai pelajar yang baik dan ahli sukan yang cemerlang. Beliau menjadi Presiden Persatuan Geografi, Persatuan Maktab (Malay College Union ), Kapten Rumah Ahmad dan Presiden Persatuan Debat dan Sastera. Beliau juga mendapat "colours" dalam bola sepak dan hoki. Juga menjadi Sarjan Mejar dalam Korp Kadet. Kepimpinan beliau terserlah sewaktu menjawat jawatan Ketua Murid dan merupakan medan dan  latihan awal bagi negarawan kita ini dalam berhadapan dengan pelbagai tuntutan dan masalah suatu hari nanti.

Setelah menamatkan pengajian di MCKK,, beliau dilantik sebagai pegawai percubaan Perkhidmatan Pentdbiran Melayu (MAS). Beliau telah menerima biasiswa unuk berkursus (diploma) 3 tahun dalam bidang ekonomi, undang-undang dan sejarah di Raffles College, Singapura. Pengajian beliau terbantut semasa Perang Dunia kedua tercetus, beliau amat aktif dalam pasukan gerila menentang Jepun iaitu Force 136 berpangkat kapten. Selepas perang, beliau telah kembali bertugas sebagai MAS. Pada 1947 beliau menyambung pelajaran di Lincolns Inn dalam bidang undang-undang dan menamatkan pengajian dengan cemerlang sebagai pemegang "King Scholar" cuma dalam tempoh kurang daripada lapan belas bulan...hebat bukan. Beliau juga amat aktif khususnya dalam Persatuan Pelajar Melayu United Kingdom.

Beliau telah dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Pahang pada 1952. Beliau pernah menjawat jawatan Ketua Pemuda Umno sehinggalah ke jawatan Timbalan Yang Dipertua UMNO. Sebagai Menteri Pelajaran pertama, beliau telah melahirkan Penyata Razak 1956 yang bertujuan menyatupadukan rakyat pelbagai kaum.Beliau menjawat Timbalan Perdana Menteri pada 1957 semasa berusia 35 tahun. Beliau juga mengetuai Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar, Kementerian Pertahanan dan Kementerian hal Ehwal dalam Negeri.

Beliau menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pembangunan luar bandar. Pembangunan telah dikendalikan semacam gerakan tentera. Beliau pernah berkata "benteng terbesar mempertahankan kedaulatan negara kita bukan saha terletak pada pertahanan, tetapi lebih-lebih lagi pada pembangunan. Kesungguhan beliau telah memaksa berjalan beribu batu bagi menjelajahi setiap ceruk kampung dan desa untuk melihat, memantau atau merasmikan projek-projek memajukan kawasan luar bandar disamping "bilik operasi" dan "Buku Merah".  Rancangan Tanah baru yang dikenali sebagai FELDA juga telah memberi harapan dan penghidupan baru yang lebih bermakna kepada rakyat termiskin dan tidak mempunyai tanah.

Pada 1962, beliau dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Antara kerajaan bagi pembentukan Malaysia. Beliau juga terpilih sebagai ketua perunding dengan Adam malik bagi menamatkan konfrantasi pada tahun 1966. Beliau telah dilantik sebagai Pengarah MAGERAN selama 17 bulan bagi menangani pasca krisis 13 Mei 1969.

Pada 22 September 1970, beliau telah dilantik menjadi Perdana Menteri. Pada tahun 1971, DEB telah dilancarkan.Beliau juga mamat aktif dalam memantapkan sistem perkhidmatan awam, antaranya adalah penubuhan INTAN (Institut Tadbiran Awam Negara). Pelbagai agensi telah ditubuhkan dalam era DEB yang dijadikan sebagai kayu ukur terhadap pembangunan yang diusahakan di seluruh Malaysia. Kesmpulannya jasa dan sumbangan beliau terhadap negara dan rakyat malaysia amat besar merangkumi hampir kesemua aspek pembangunan sama ada material mahupun mental dan sikap rakyat malaysia itu sendiri. Pembangunan desa, kemahiran pentadbiran, kejayaan mencelik hurufkan orang dewasa dan kanak-kanak, penubuhan UKM ( aku berbangga menjadi sebahagian daripada warga UKM), menangani masalah perpaduan kaum dan terlalu banyak lagi jasa dan sumbangan beliau terhadap negara.

Namun, segalanya berakhir pada tanggal 14 Januari 1976, beliau telah meninggal dunia di London sewaktu berusia 53 tahun setelah enam tahun menjadi PM Malaysia kedua. Seluruh negara maratapi pemergian tokoh negarawan ulung ini.... AL FATIHAH.

SUMBER :  Autobiografi ku  :  Dari STAR ke SESTA

Monday, January 7, 2013

07 / 01 / 1987 .... Aku bergelar BUDAK JENAN


Gambar di locker (semasa F5 )

Hari ini pada tanggal 07 / 01 / 2013 merupakan hari penting buat pelajar Tingkatan 1 yang mendaftar sebagai pelajar SBP di sekolah masing-masing ... pada petang tadi, aku berkesempatan meneliti sijil berhenti sekolah ku... dan ternyata tekaan hati ku betul...jangkaan yang berlegar semasa sessi pengenalan pentadbir dan guru kepada ibu bapa dan pelajar tingkatan 1 di dewan pagi tadi ... ternyata pada tanggal 07 / 01 / 1987 (tercatat jelas pada sijil berhenti sekolah ku) merupakan hari pendaftaran ku di Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim (SMSAH)  aka JENAN pada 26 tahun yang lalu .... telah jauh aku berjalan rupanye...

Seawal pagi 07 / 01 / 1987, aku dan keluarga meninggalkan rumah menuju ke destinasi (terpaksa bertolak pagi kerana tiada Highway PLUS lagi pada masa itu). Setibanya di JENAN, pendaftaran telah diadakan di Dewan Besar. Aku lihat ramai bebudak baru yang akan masuk ... masih terbayang wajah-wajah suci yang terpancar pada raut muka masing-masing...ternyata dewan itu agak besar pada pengamatan ku. Aku cukup tertarik dengan gambar lukisan cat air yang terdapat pada dinding sekolah iaitu gambar sebuah kereta VOLVO....Selesai urusan pendaftaran, aku ditempatkan di rumah pendita.

Dari Dewan, kami bergerak ke asrama untuk mencari katil....Akhirnya, aku dapat katil dibahagian belakang sekali....Yang menariknya, sepanjang 5 tahun bergelar budak JENAN, kami semua mendapat "single bed"...mungkin inilah kelebihan sekolah SBP Premier macam JENAN ( ada unsur2 riak sedikit di disitu)...usai urusan mengge"cop" katil ....kami sekeluarga pergi makan tengah hari dekat pekan Tanah Merah (sekarang dikenali bandar Darulaman). Sekembalinya kami ke asrama ...tibalah saat perpisahan yang bakal menjelang tiba...setelah ibu ku mengemaskan pakaian dan barang-barang ku di locker ...family aku terpaksa pulang...masih terbayang pelukan mesra allahyarham bapa ku dan ciuman kasih ibu ku juga titisan air mata bonda telah membasahi pipi ku...aku juga tidak mampu menahan deraian air mata dari tumpah ke bumi....dari kejauhan aku melambai, melihat mereka pergi meninggalkan ku di dunia baru yang bakal dihuni dalam tempoh 5 tahun mendatang....seriously malam tu memang sukar untuk aku melelapkan mata....sedar-sedar azan subuh telah berkumandang dari Masjid Muadzam yang terletak bersebelahan dorm ku ...Dorm P1.

Setelah seminggu orientasi berlalu, pelbagai kenangan pahit dan manis dilalui, akhirnya kami sah bergelar budak JENAN dan diakhiri dengan lawatan ke bandar Alor Setar....Bermula tanggal 07/01/1987 bermulah penghidupan aku sebagai budak JENAN ditemani dorm mate ku ....Legend-legend Dorm P1 Pendita : Aku, Pak lan, Ikram, Izwan, Dwen, Mreet, Tagem, Ewan, Ezriq, Fadli Wak Joe, Korak, Din Kuda dan Hadri ...inilah dikatakan BROTHERHOOD....maka bermulah penghidupan ku sebagai budak JENAN...

SUMBER  : Autobiografi ku : Dari STAR ke SESTA