Thursday, December 31, 2009

Setahun sudah berlalu....!


Assalamualaikum....setahun sudah berlalu...2009 bakal melabuhkan tirainya 2010 menjelang tiba...tidak dinafikan setahun telah berlalu meninggalkan pelbagai kisah suka dan duka... bagi diriku sebagai pendidik tahun 2009 dianggap antara tahun yang mencabar....terkadang apabila berhadapan dengan situasi yang agak kritikal di sekolah....dunia diluar sana terasa seolah-olah sedang mengejek diriku....sukar untuk melelapkan mata...keheningan malam, begitu menyeksakan sekali....malam dirasakan terlalu lama...diri terasa tewas kepada ujian yang telah Allah tetapkan.....mujurlah ade sebahagian kecil rakan seperjuangan yang turut berkongsi perasaan tersebut khususnya dalam menegakkan erti KEADILAN demi kepentingan agama, bangsa dan negara ...!

Menyedari dan menginsafi hakikat pemberian akal oleh Allah, maka kalau kita gunakannya untuk kebaikan, maka kebaikanlah yang bakal kita peroleh dan begitulah juga sebaliknya. Allah menjadikan segala dugaan untuk menguji tahap keimanan kita. Semakin banyak dugaan hidup sepatutnya semakin kuat daya ketahanan jiwa dan akal atau otak kita berfikir. Sahabatku pernah berkata " Selagi ada hayat, maka selagi itulah ada ikhtiar....selama kita berikhtiar maka ruang-ruang untuk mencari jalan penyelesaian pasti ada...yang paling mustahak ialah keyakinan kita semakin mantap dalam menghadapi pelbagai kemungkinan...!"

Justeru itu selamat menyambut tahun baru 2010 dan mudah-mudahan kita akan menjadi insan yang lebih sabar dan lebih diredhai Allah di kalangan hamba-hambanya....AMIN.

Thursday, December 24, 2009

Panglima Awang


Panglima Awang dipercayai seorang ahli pelayaran Melayu yang hampir berjaya mengelilingi dunia bersama-sama dengan Magellan. Menurut seorang penulis, kisah Panglima Awang bermula apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511. Panglima Awang dengan dibantu oleh Panglima Hitam dan rakan-rakannya cuba menyelamatkan bumi Melaka di sebalik kekurangan peralatan peperangan. Beliau telah ditawan oleh Portugis dan dibawa belayar ke Goa, India untuk dijual kepada saudagar-saudagar asing.

Di dalam pelayaran, beliau telah diletakkan di bawah penjagaan Fernao de Magalhaes (Magellan), pembantu Alfonso de Albuquerque. Disebabkan hubungan Magellan dan Panglima Awang baik, beliau tidak menjualnya, sebaliknya telah membawa Panglima Awang ke Portugal. Di sana beliau dikenali sebagai Henry The Black bagi mengelakkan beliau daripada dibunuh kerana seorang Islam.

Selepas beberapa ketika di Portugal, Magellan telah mengajak Panglima Awang meneruskan pelayaran untuk mencari dunia baru kerana kepercayaannya bahawa dunia ini bulat. Pelayaran mereka bermula di Sepanyol. Di sepanjang pelayaran mereka, kapal tersebut telah singgah di beberapa tempat dan juga pulau-pulau baru seperti Pernambuco di Brazil, Patagonia, Tierra Del Feugo di Amerika Selatan, Pulau Guam dan akhir sekali di pulau Mazzavva yang diperintah oleh kerajaan Cebu. Di sepanjang pelayaran berkenaan Panglima Awang telah diberikan kepercayaan untuk mengemudikan kapal atas keyakinan Magellan.

Di pulau Mazzava, Panglima Awang mendapati penduduknya berbahasa Melayu dan mempunyai iras-iras Melayu. Ini meyakinkannya mereka hampir tiba di Melaka. Hasrat Magellan untuk mengelilingi dunia tidak kesampaian apabila beliau meninggal dunia di Mactan pada 1521. Dengan pertolongan Raja Hamabun dari Pulau Cebu, Panglima Awang telah kembali ke Melaka.

Menurut pengarang kisah Panglima Awang, Panglima Hitam dan Panglima Awang bertemu di Brunei sebelum meneruskan perjalanan. Pelayaran Panglima Awang mengelilingi dunia bermula di Melaka dan dikatakan berakhir juga di Melaka. Ia menunjukkan bahawa telah wujud seorang ahli pelayaran yang agung di nusantara.

Sumber : Melaka Dalam Dunia Maritim.

Monday, December 7, 2009

SEMANGAT PERJUANGAN MELAYU!


Semalam aku meneliti kembali nota kuliah sejarahku dan tertarik dengan lima rangkap pantun yang memaparkan semangat perjuangan orang Melayu Melaka dalam mempertahankan bumi Melaka yang bertuah. Ternyata perjuangan mereka yang tidak pernah kenal erti mengalah itu menjadi nadi utama kebangkitan orang Melayu dalam zamannya bahkan melangkaui zaman berikutnya sehingga membawa kepada kemunculan kerajaan-kerajaan Melayu sesudahnya. Dikhabarkan bait-bait pantun tersebut menggambarkan perjuangan orang Melayu Melaka dibawah kepimpinan Sultan Mahmud serta Tun Fatimah dan diwarisi generasi demi generasi.


Pulau Salak Pulau Sejugi
Ketiga dengan Pulau Pinang
Walaupun lesap mahkota kami
Maruah Melayu takkan hilang

Dari Melaka ke Kuala Linggi
Duduk berhenti melepas lelah
Daripada menyembah orang Peringgi
Eloklah mati berkalung tanah

Walau rumput sudah menjalar
Dahan kayu bercabang juga
Walau laut sudah terbakar
Sampan Melayu belayar juga

Batang nangka batang bergetah
Buahnya besar bercabang tinggi
Orang Melaka pantang menyerah
Orang Kampar berpantang lari

Walaupun rumput mati terlapah
Uratnya tidak mahu tenggelam
Walaupun laut menjadi darah
Semangat Melayu tidakkan padam.


Sumber : Nota Kuliah Sejarah UKM.

Wednesday, November 11, 2009

GENG PENJARA ( PENDETA + JUARA )

Inilah gambar posing maut aku dan kengkawan masa F5 lepaih balik dari prep malam. Masa tu kami bebudak lelaki jenan masa prep malam kena pakai baju melayu putih ke kelas dari F1 sampaila ke F5 (wajib, tiada pengecualian ), bebudak pompuan pulak prep kat asrama. Masa ni bebudak juara (lelaki) kena pindah ke blok kami sebab blok depa ( CENDEKIA dan JUARA ) dah terbakar, tidak selamat lagi untuk didiami...so kat situlah dapat nama PENJARA ( PENDETA + JUARA ). Peristiwa kebakaran tu berlaku dalam bulan Ramadhan, so bebudak Jenan yang sezaman dengan peristiwa ini pasti takkan lupa punya tragedi ini , punca kejadian biarlah ianya terus menjadi rahsia di kalangan kami bebudak jenan....one in a life time. So bila kena pakai baju melayu putih pergi prep malam mau tak mau kenalah rajin basuh baju tu hari-hari, zaman aku kat jenan dulu mana ada perkhidmatan dobi macam lani, so terpaksa la bergantung harap kepada sabun basuh cap SUPER BUSA!....... Akhirul kalam sememangnya kehidupan di asrama merupakan satu kenangan yang terindah.

Tuesday, November 10, 2009

SEKOLAH "PADANG PASIR"


Hari tu aku ade respond dalam blog sahabat ku tentang sekolah aku yang digelar "padang pasir" kerana tidak mempunyai padang rumput ( tapi kini keadaan jauh berbeza). Sekolah ini hanya mempunyai 6 kelas sahaja (dari darjah satu hingga darjah 6). Bayangkan sepanjang 6 tahun kami duduk dalam kelas yang sama dimana murid perempuan lebih ramai daripada murid lelaki. Pi Mai Pi Mai tang tu jugak. Bayangkan team bola kami bila lawan peringkat daerah (training kat atas padang pasir lombong tapi tournament kat padang rumput)....macam training hoki kat padang rumput lawan kat turf. . Jadi tak hairanlah kami punya friendship and brotherhood sesama kami agak kuat. Sampai sekarang aku masih berhubungan dengan mereka ( ramai dikalangan mereka dah beranak pinak dan berjaya di dalam hidup ). Dirgahayu sekolah ku ....SEKOLAH KEBANGSAAN BAKAP, BATU GAJAH, PERAK DARUL RIDZUAN

Monday, November 2, 2009

SEKADAR RENUNGAN 2 : GURU OH GURU!

Alhamdulillah, setelah tiga minggu, baru aku dapat mencoretkan sesuatu kali ini. Suatu tempoh yang agak panjang namun di dalam kesibukan berhadapan dengan kes disiplin di sekolah, menanda kertas peperiksaan akhir tahun T4, pecutan akhir SPM serta mesyuarat disiplin di Melaka, banyak persoalan dan perasaan bermain di benak fikiran ku akhir-akhir ini untuk kita kongsi bersama.
Pernahkah kita bertanya pada diri kita sendiri tentang apakah tujuan kita memilih kerjaya guru ini?
Sudahkah bulat iktikad kita memilih bidang yang dikatakan penuh dengan pancaroba ini?
Sudah cukup bersediakah kita untuk duduk di atas "kerusi panas" bagai dipanggang oleh pelbagai isu sensasi yang mampu menggugat kesabaran dan mengundang kesedihan?
TENTUNYA KITA TIDAK SALAH DALAM PERHITUNGAN KERANA INILAH YANG KITA INGINKAN.
Kerjaya yang tidak lagi glamour, gaji yang tidak setimpal dengan beban tugas, insentif yang kurang menarik, MASYARAKAT dan PIHAK LUAR yang semakin kurang menghormati guru, pelajar yang semakin kurang berakhlak dan pelbagai lagi permasalahan yang sukar untuk dibayangkan andai kita sendiri yang akan dan telah mengalaminya.
Sekiranya kita memilih bidang kerjaya ini kerana tidak dapat peluang kerjaya lain, maka amatlah malangnya anak-anak murid dan sekolah yang menerima kita sebagai gurunya. Ingatlah kerjaya guru ini memerlukan minat yang begitu mendalam untuk menjadikan kita lasak dalam menghadapi arena yang penuh ranjau berbisa ini.
Sekiranya kita memilih kerjaya guru ini, sebagai pilihan utama kita dan kerana minat yang begitu mendalam......SYABAS diucapkan! Alangkah bertuahnya anak-anak murid dan sekolah yang menerima kita sebagai gurunya.....Hanya kita sendiri sahaja yang dapat menjawabnya. Tepuk dada tanyalah IMAN!
Guru yang berdedikasi begitu ramai sekali jumlahnya, namun ada segelintir kecil yang bermasalah dari segi sikap. Mereka inilah yang telah mencemar nama baik profesion perguruan. Semoga kita bukan dari golongan kecil ini. Jangan sampai anak didik kita menjadi mangsa akibat daripada kejahilan kita. Jangan sampai kerjaya yang menjanjikan ganjaran PAHALA yang besar bertukar menjadi balasan DOSA yang menimbun.
Kitalah penentunya, kitalah segalanya dan kitalah orang yang bertanggungjawab terhadap baik buruknya masyarakat pada masa hadapan.
Yang pasti, kita akan ditanya tentang amanah dan tanggungjawab ini di akhirat kelak.......!

Friday, October 9, 2009

Exam oh Exam


Hari ni giliran aku dengan sahabat ku bertugas sebagai guru harian. Sebelum memasuki dewan peperiksaan, semua calon PMR diambil suhu badan masing2, disamping dibekalkan dengan topeng muka dan membersihkan tapak tangan menggunakan hand sanitizer. Alhamdulilah, hari ni cuma 6 orang sahaja mencatat 37 C, so takde yang terpaksa dikuarantinkan.

Memang tidak dapat dinafikan apabila menghadapi peperiksaan timbul pelbagai perasaan bercampu baur. Bagi diriku yang telahpun melalui peperiksaan bermula dengan peperiksaan Penilaian Darjah Lima, Sijil Rendah Pelajaran, Sijil Pelajaran Malaysia, peperiksaan semasa nak dapatkan B.A (hons) dan Dip Ed, exam ambik lesen keta dan terkini biasala PTK...namun pengalaman ini akan mematangkan dan mendewasakan kita.

Dalam kehidupan kita ni maknanya kita akan sentiasa diuji....teringat aku kata-kata ustaz aku Allahyarham Ustaz Hashim (sek rendah) yang mengatakan " dalam hidup ni, kita akan sentiasa ambik exam, sampai dalam kubur nantipun kita akan ambik exam, soalan kubur yang dah bocor tu pun belum tentu kita boleh jawab,.... jadi belajar la bersungguh-sungguh"....kata2 arwah memang terngiang-ngiang dalam fikiran ku sampai ke hari ini......!

Wednesday, October 7, 2009

10 Tanda Hati Mati


Menurut Syeikh Ibrahim Adham terdapat 10 sebab atau tanda hati seseorang mati iaitu
  1. Kamu mengaku kenal Tuhan tetapi kamu tidak menunaikan hak-haknya.
  2. Kamu mengaku cinta kepada Nabi Muhammad tetapi kamu mengabaikan sunnah baginda.
  3. Kamu membaca Al-Quran tetapi kamu tidak beramal dengan hukum-hukum di dalamnya.
  4. Kamu memakan nikmat-nikmat Tuhan tetapi kamu tidak mensyukuri atas pemberianNya.
  5. Kamu mengaku syaitan itu musuh tetapi kamu mengikutinya.
  6. Kamu mengaku adanya seksa neraka tetapi kamu tidak berusaha menjauhkannya.
  7. Kamu mengaku adanya nikmat syurga tetapi kamu tidak beramal untuk mendapatkannya.
  8. Kamu mengaku kematian pasti datang bagi setiap jiwa tetapi kamu masih tidak bersedia untuknya.
  9. Kamu menyibukkan diri membuka keaiban orang lain tetapi kamu lupa akan keaiban diri kamu sendiri.
  10. Kamu menghantar dan menguburkan jenazah saudara sesama Islam tetapi kamu tidak mengambil iktibar daripadanya.

Semoga kita semua menghidupkan hati kita yang mati dengan sentiasa mengingati Allah, Insya Allah.

"Ingatlah, hanya dengan mengingat Tuhan, hati akan menjadi tenang." Surah ar-Ra'd:28.

Monday, October 5, 2009

Sejarah Melayu Makin Dilupakan


Memang tidak dinafikan teks Sejarah Melayu kini telah menjadi sebuah karya klasik. Sejarah Melayu dengan jelas dapat memberikan maklumat dan fakta sejarah tentang kesultanan Melayu Melaka. Bagi pencinta Sejarah Malaysia, tidak lengkap sekiranya tidak meneliti dan memahami karya sastera sejarah teragung hasil tulisan Tun Sri Lanang ini.

Secara ringkasnya teks ini menggalurkan sejarah pemerintahan raja-raja Melayu dari awal abad ke 15 hingga awal abad ke 17. Skopnya merangkumi sejak zaman sebelum Singapura, zaman Singapura/Samudera Pasai, Zaman Melaka dan diakhiri Zaman Johor. Sejarah kesultanan Melayu Melaka digarap dengan baik bermula sejarah penubuhannya sehingga kejatuhannya akibat penguasaan Portugis pada 1511 dan diteruskan sehingga sejarah penubuhan Raja-raja Melayu dari Melaka ke Johor. Terlalu banyak iktibar dan pengajaran yang boleh kita perolehi hasil daripada pengkajian terhadap teks ini sama ada secara tersurat mahupun tersirat disamping kehebatan Melaka sebagai sebuah emporium perdagangan utama dunia serta pusat penyebaran Islam pada masa tersebut. Justeru itu kita wajar menghargai warisan Melayu tersohor ini di mana di barat ianya dikenali dengan nama THE MALAY ANNALS.

Thursday, October 1, 2009

Filem Melayu Yang Ada "JIWA"


Semalaman sukar untuk melelapkan mata, walaupun telah seharian bertugas dengan rakan ku di sekolah, timbul kebosanan apabila mengsulusuri dari satu channel ke satu channel ASTRO tiada satupun yang melekat di jiwa, akhirnya aku mengambil koleksi vcd lalu menonton filem "SE MERAH PADI" lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dari mula sampai akhir.

Memang filem Allahyarham memang dekat di jiwa kita, walaupun dilihat berulang-ulang kali, kita masih lagi mampu melihatnya hingga ke penghujung. Siapa dapat menafikan kehebatan filem-filem beliau seperti ANTARA DUA DARJAT, SEMERAH PADI, PENARIK BECA, ANAKKU SAZALI, IBU MERTUAKU, SARJAN HASSAN, MASAM2 MANIS, BUJANG LAPOK (PENDEKAR,SENIMAN,ALI BABA ), TRILOGI DO RE MI, NUJUM PAK BELALANG,AHMAD ALBAB, TIGA ABDUL dan banyak lagi (sekadar menyebut beberapa buah filem). Jelas terpapar KEJUJURAN beliau dalam menghasilkan filem demi tatapan generasi zaman berzaman.

Selain itu filem-filem seperti SRI MERSING, TUN FATIMAH, SULTAN MAHMUD MANGKAT DIJULANG, ISI NERAKA, RAJA BERSIUNG,HANG JEBAT,LANCANG KUNING, BAWANG MERAH BAWANG PUTIH, SI TANGGANG juga amat dekat di hati dan jiwaku.

Melewati pasca filem hitam putih muncul juga filem-filem yang hebat seperti ABANG, MATINYA SEORANG PATRIOT, BUKIT KEPONG,PUTERI,RANJAU SEPANJANG JALAN, ESOK UNTUK SIAPA,TIADA ESOK BAGIMU, MENANTI HARI ESOK,ALI SETAN, LEFTERNAN ADNAN, HATI MALAYA (sedih, filem ini tak edarkan dalam bentuk VCD & DVD)....namun akhir-akhir ini filem-filem yang terhasil kurang melekat di jiwa ku... seolah-olah rasa suatu kehilangan....namun satu hakikat yang harus diterima sokongan terhadap filem-filem Melayu harus diteruskan kerana "di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung".

Tuesday, September 29, 2009

Antara masa lalu dan sejarah


Ilmu sejarah merupakan antara ilmu yang tertua dipelajari manusia. Sebagai satu ilmu yang menjadikan "MASA LALU" sebagai asas pengkajian, sejarah tidak boleh dipilih untuk dipelajari, kerana kita tidak dapat lari dari mengingati masa lalu. Bagaimanapun harus diingatkan bahawa "MASA LALU" itu bukanlah sejarah, kerana TIDAK SEMUA PERISTIWA MASA LALU ini dapat DICATATKAN kerana sebahagiannya HILANG DITELAN MASA.

Sebagai salah satu bidang ilmu kemanusiaan, sejarah dibina atas dasar KEWUJUDAN BUKTI DARI PELBAGAI SUMBER. Tanpa BUKTI dan SUMBER maka sesuatu peristiwa itu tidak boleh kita anggap sebagai PERISTIWA SEJARAH. Ramai sebenarnya yang agak keliru antara masa lalu dan sejarah. Konsep MASA LALU adalah merujuk kepada setiap detik dan masa di mana setiap perkara telah berlaku. Sifatnya LUAS, TIDAK TERKAWAL dan AGAK KABUR.

SEJARAH adalah satu bidang ilmu yang digunakan untuk mengkaji tentang MASA LALU. Maka sifatnya lebih mengkhusus berbanding dengan MASA LALU, ianya boleh dikawal hasil penggunaan bukti dan sumber serta boleh dijelaskan secara tepat.

Secara ringkasnya, kepentingan sejarah boleh diaplikasikan kepada beberapa aspek iaitu

  1. SEJARAH memberi pengajaran / iktibar.
  2. SEJARAH memberikan kefahaman tentang masa kini.
  3. SEJARAH meningkatkan intelektual.
  4. SEJARAH dapat membentuk sikap manusia.
  5. SEJARAH untuk pembinaan bangsa dan negara bangsa.
  6. SEJARAH sebagai alat propaganda.
  7. SEJARAH bagi pendidikan agama.
  8. SEJARAH bagi memahami perkembangan ilmu pengetahuan lain.
  9. SEJARAH bagi meningkatkan kesedaran hak asasi manusia.
Akhirul kalam, CINTAILAH ILMU SEJARAH...

Saturday, September 26, 2009

ANTARA OPS SIKAP DAN KENA UBAH SIKAP


Nampaknya setakat ari ni dah 220 nyawa melayang di atas jalan raya walaupun pelbagai kempen dilaksanakan namun jumlah kematian maut kian meningkat saban tahun. Entahlah di mana silapnya....satu hakikat yang harus kita terima ialah bukan sesuatu yang mudah untuk mengubah "SIKAP" manusia, biasanya yang mudah untuk diubah atau dibentuk adalah "TINGKAHLAKU", sebaliknya untuk berubah "SIKAP" seseorang insan haruslah melakukan pengorbanan yang amat besar..tepuk dada tanya IMAN.

Semalam setelah seharian beraya di Lumut, dalam perjalanan pulang sempat menyaksikan tiga kemalangan kecil berlaku, lepas tu macam biasa la, banyak kereta yang berhenti nak tengok "free show" atau bagi yang "kaki nombor"lak maybe nak ambil ilham....kepada semua berhati-hati di jalan raya dan selamat kembali ke destinasi masing-masing.

Tuesday, September 22, 2009

Salam Aidil Fitri 1430H

Alhamdulillah syukur kerana diberi kesempatan menyambut Aidil Fitri buat kali ketiga puluh lima, tahun depan belum tentu berkesempatan menyambutnya lagi. Melihat gambar Naqib, betul-betul menginsafkan diriku, semoga beliau cepat sembuh dan bersabar terhadap cubaan dari Allah SWT.
Pagi-pagi raya, semasa menziarahi pusara atuk yang tercinta, aku dipertontonkan dengan satu peristiwa yang hampir sama dengan filem ibu mertuaku, lakonan Allahyarham Tan Sri P Ramlee, cuma yang berbeza skripnya sahaja, kalau Kassim Selamat tersalah kubur, sebaliknya hamba Allah ini menghadapi kesukaran mengenalpasti nisan yang dicari, aku bersangka baik kemungkinan besar telah lama beliau meninggalkan kampung tercinta, setelah agak lama tercari-cari ,mujurlah akhirnya Haji Salleh menghampiri hamba Allah tersebut lalu memimpin beliau menuju destinasi yang sebenarnya, sambil berlinangan air mata beliau memeluk tubuh Haji Salleh, diikuti membersihkan kubur tersebut......peristiwa ini benar-benar menginsafkanku ku agar walau dimana kita berada keluarga sama sekali jangan dilupa.
Raya tahun ni disambut secara sederhana sahaja, favourite aku makan lemang dengan rendang kerang, duit raya cam biasa kenala hulur , zaman collection duit raya dah lama berlalu...tapi yang meriahnya raya pertama n kedua misi utama meronda kesemua rumah sedara mara sehingga selesai...bayangkan hari raya kedua baru dapat makan semula nasi (mana taknya, pi rumah org beraya dihidang lemang,nasi himpit, rendang,lontong, laksa...nasi memang tak jumpanya). Oklah selamat beraya dan pulang semula dari beraya.

Thursday, September 17, 2009

Majlis Bermaafan Sempena Aidil Fitri

Pada pagi ni, 17 SEPTEMBER 2009 bertempat di Dewan STAR diadakan Majlis Penyampaian Wang Raya kepada setiap pelajar yang disempurnakan oleh Tuan Pengetua diikuti majlis bermaaf-maafan para pelajar dengan semua guru STAR...

nampaknya ada kelainan sedikit berbanding tahun-tahun terdahulu yang biasanya diadakan di surau Al Hamdaniah...namun apa yang diharapkan agar para pelajar dapat menterjemahkannya dalam erti kata yang sebenar selepas ini, maklumlah menyedari dan menginsafi hakikat insan tidak pernah lari daripada melakukan kesalahan, kerana sesungguhnya kesempurnaan itu hanya milik Allah Azza Wajalla...

terkenang diriku semasa di Jenan dahulu, menjelang Aidil Fitri tiada majlis seumpama ini, tetapi kami bebudak jenan akan mencari dan berjumpa sendiri dengan guru-guru memohon maaf di atas segala kekhilafan yang dilakukan,

menjelang peperiksaan SRP dan SPM kami berjumpa sendiri dengan guru memohon restu dan maaf tanpa mengira guru itu pernah mengajar kami ataupun tidak, seingatku menjelang SPM proses aku bertemu dengan semua guru memakan masa sehingga 4 hari, maklumlah kesibukan guru mengejar tugas masing-masing, namun keikhlasan jelas terpancar di wajah masing-masing apabila melihat anak murid bersemuka sendiri dengan guru mereka....namun di STAR keadaan ini tidak berlaku, Majlis Restu Ilmu diadakan menghimpunkan semua pelajar dan guru, mungkin ada kelebihannya ataupun mungkin zaman dah berubah...

Dalam kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat hari raya Aidil Fitri kepada semua yang mengenali saya... Maaf Zahir Batin.

ps : buat AGX 1180 berhati-hati di jalan raya.

Wednesday, September 16, 2009

Sekadar renungan bersama....


Mari kita berfikir sejenak....ketika kita sedang bersantai sambil menghirup milo panas semasa sahur atau sedang duduk bersendirian sambil mengelamun...pada ketika itu pernahkah kita memikirkan tentang ciptaan Allah yang menakjubkan. Pernahkah juga kita fikirkan tentang diri kita, sama ada kita telah bersyukur atau sebaliknya terhadap pemberian Sang Pencipta?

Kita lihat dunia hari ini dikelilingi suasana yang merunsingkan. Semuanya kelihatan serba rakus,pentingkan diri sendiri, yang entah sampai bila dan dimana. Malah bukan setakat itu, jika kita renungkan seketika, dunia pada situasi sekarang semuanya nampak serba cepat. Harinya cepat, minggunya cepat, tahunnya cepat, malah aku kat sini dah masuk tahun kesepuluh diam tak diam. Dalam serba cepat tersebut, pernahkah kita terfikir semuanya berlaku dalam pengetahuan Penciptanya.

Jika kita terus merenung, ada perkara yang sangat hampir dengan kita sendiri, tetapi tidak dapat kita kuasai. Tiada seorang manusiapun yang sedar bilakah waktu sebenarnya dia mula tidur. Dalam erti kata sedar dengan tepat, jam, minit dan saatnya. Yang kita tahu hanya ketika kita mula meletakkan kepala di bantal. Sebenarnya tidur dan jaga adalah suatu keajaiban yang menunjukkan ada yang mentadbirnya. Jaga dan tidur itu seolah-olah bagaikan lampu kalimantang yang adakalanya "on" dan adakala "off". Adakah kita pemetik suisnya? BUKAN! Kalau kita sebagai pemetik suis untuk "on" dan "off" mengapa ada kalanya kita mahu bangun sekian jam, tetapi ada kalanya kita lewat bangun? Dan mengapa kadangkala kita mahu tidur tetapi mata tidak dapat dilelapkan?

Akhirul kalam, kita sedekahkan Al-Fatihah buat guru-guru kita yang telah mendahului kita, semoga Allah menempatkan mereka di kalangan orang-orang yang beriman....Amin.

Tuesday, September 15, 2009

SALAM PERKENALAN

Assalamualaikum, syukur Alhamdulillah akhirnya siap juga blog aku ni, itupun hasil bantuan dan dorongan dari sahabat aku setelah tertangguh sejak sekian lama. Thanx Bro. Adalah menjadi harapan agar kehadiran blog ini dapat dijadikan sebagai satu sumber inspirasi dan kekuatan bagi diriku dalam meneruskan perjuangan dan kerjaya aku sebagai pendidik, Insya Allah . kerana sesungguhnya "AKU CIKGU SEKOLAH " yang ditauliahkan sejak 12 JUN 2000.