Tuesday, September 29, 2009

Antara masa lalu dan sejarah


Ilmu sejarah merupakan antara ilmu yang tertua dipelajari manusia. Sebagai satu ilmu yang menjadikan "MASA LALU" sebagai asas pengkajian, sejarah tidak boleh dipilih untuk dipelajari, kerana kita tidak dapat lari dari mengingati masa lalu. Bagaimanapun harus diingatkan bahawa "MASA LALU" itu bukanlah sejarah, kerana TIDAK SEMUA PERISTIWA MASA LALU ini dapat DICATATKAN kerana sebahagiannya HILANG DITELAN MASA.

Sebagai salah satu bidang ilmu kemanusiaan, sejarah dibina atas dasar KEWUJUDAN BUKTI DARI PELBAGAI SUMBER. Tanpa BUKTI dan SUMBER maka sesuatu peristiwa itu tidak boleh kita anggap sebagai PERISTIWA SEJARAH. Ramai sebenarnya yang agak keliru antara masa lalu dan sejarah. Konsep MASA LALU adalah merujuk kepada setiap detik dan masa di mana setiap perkara telah berlaku. Sifatnya LUAS, TIDAK TERKAWAL dan AGAK KABUR.

SEJARAH adalah satu bidang ilmu yang digunakan untuk mengkaji tentang MASA LALU. Maka sifatnya lebih mengkhusus berbanding dengan MASA LALU, ianya boleh dikawal hasil penggunaan bukti dan sumber serta boleh dijelaskan secara tepat.

Secara ringkasnya, kepentingan sejarah boleh diaplikasikan kepada beberapa aspek iaitu

  1. SEJARAH memberi pengajaran / iktibar.
  2. SEJARAH memberikan kefahaman tentang masa kini.
  3. SEJARAH meningkatkan intelektual.
  4. SEJARAH dapat membentuk sikap manusia.
  5. SEJARAH untuk pembinaan bangsa dan negara bangsa.
  6. SEJARAH sebagai alat propaganda.
  7. SEJARAH bagi pendidikan agama.
  8. SEJARAH bagi memahami perkembangan ilmu pengetahuan lain.
  9. SEJARAH bagi meningkatkan kesedaran hak asasi manusia.
Akhirul kalam, CINTAILAH ILMU SEJARAH...

Saturday, September 26, 2009

ANTARA OPS SIKAP DAN KENA UBAH SIKAP


Nampaknya setakat ari ni dah 220 nyawa melayang di atas jalan raya walaupun pelbagai kempen dilaksanakan namun jumlah kematian maut kian meningkat saban tahun. Entahlah di mana silapnya....satu hakikat yang harus kita terima ialah bukan sesuatu yang mudah untuk mengubah "SIKAP" manusia, biasanya yang mudah untuk diubah atau dibentuk adalah "TINGKAHLAKU", sebaliknya untuk berubah "SIKAP" seseorang insan haruslah melakukan pengorbanan yang amat besar..tepuk dada tanya IMAN.

Semalam setelah seharian beraya di Lumut, dalam perjalanan pulang sempat menyaksikan tiga kemalangan kecil berlaku, lepas tu macam biasa la, banyak kereta yang berhenti nak tengok "free show" atau bagi yang "kaki nombor"lak maybe nak ambil ilham....kepada semua berhati-hati di jalan raya dan selamat kembali ke destinasi masing-masing.

Tuesday, September 22, 2009

Salam Aidil Fitri 1430H

Alhamdulillah syukur kerana diberi kesempatan menyambut Aidil Fitri buat kali ketiga puluh lima, tahun depan belum tentu berkesempatan menyambutnya lagi. Melihat gambar Naqib, betul-betul menginsafkan diriku, semoga beliau cepat sembuh dan bersabar terhadap cubaan dari Allah SWT.
Pagi-pagi raya, semasa menziarahi pusara atuk yang tercinta, aku dipertontonkan dengan satu peristiwa yang hampir sama dengan filem ibu mertuaku, lakonan Allahyarham Tan Sri P Ramlee, cuma yang berbeza skripnya sahaja, kalau Kassim Selamat tersalah kubur, sebaliknya hamba Allah ini menghadapi kesukaran mengenalpasti nisan yang dicari, aku bersangka baik kemungkinan besar telah lama beliau meninggalkan kampung tercinta, setelah agak lama tercari-cari ,mujurlah akhirnya Haji Salleh menghampiri hamba Allah tersebut lalu memimpin beliau menuju destinasi yang sebenarnya, sambil berlinangan air mata beliau memeluk tubuh Haji Salleh, diikuti membersihkan kubur tersebut......peristiwa ini benar-benar menginsafkanku ku agar walau dimana kita berada keluarga sama sekali jangan dilupa.
Raya tahun ni disambut secara sederhana sahaja, favourite aku makan lemang dengan rendang kerang, duit raya cam biasa kenala hulur , zaman collection duit raya dah lama berlalu...tapi yang meriahnya raya pertama n kedua misi utama meronda kesemua rumah sedara mara sehingga selesai...bayangkan hari raya kedua baru dapat makan semula nasi (mana taknya, pi rumah org beraya dihidang lemang,nasi himpit, rendang,lontong, laksa...nasi memang tak jumpanya). Oklah selamat beraya dan pulang semula dari beraya.

Thursday, September 17, 2009

Majlis Bermaafan Sempena Aidil Fitri

Pada pagi ni, 17 SEPTEMBER 2009 bertempat di Dewan STAR diadakan Majlis Penyampaian Wang Raya kepada setiap pelajar yang disempurnakan oleh Tuan Pengetua diikuti majlis bermaaf-maafan para pelajar dengan semua guru STAR...

nampaknya ada kelainan sedikit berbanding tahun-tahun terdahulu yang biasanya diadakan di surau Al Hamdaniah...namun apa yang diharapkan agar para pelajar dapat menterjemahkannya dalam erti kata yang sebenar selepas ini, maklumlah menyedari dan menginsafi hakikat insan tidak pernah lari daripada melakukan kesalahan, kerana sesungguhnya kesempurnaan itu hanya milik Allah Azza Wajalla...

terkenang diriku semasa di Jenan dahulu, menjelang Aidil Fitri tiada majlis seumpama ini, tetapi kami bebudak jenan akan mencari dan berjumpa sendiri dengan guru-guru memohon maaf di atas segala kekhilafan yang dilakukan,

menjelang peperiksaan SRP dan SPM kami berjumpa sendiri dengan guru memohon restu dan maaf tanpa mengira guru itu pernah mengajar kami ataupun tidak, seingatku menjelang SPM proses aku bertemu dengan semua guru memakan masa sehingga 4 hari, maklumlah kesibukan guru mengejar tugas masing-masing, namun keikhlasan jelas terpancar di wajah masing-masing apabila melihat anak murid bersemuka sendiri dengan guru mereka....namun di STAR keadaan ini tidak berlaku, Majlis Restu Ilmu diadakan menghimpunkan semua pelajar dan guru, mungkin ada kelebihannya ataupun mungkin zaman dah berubah...

Dalam kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat hari raya Aidil Fitri kepada semua yang mengenali saya... Maaf Zahir Batin.

ps : buat AGX 1180 berhati-hati di jalan raya.

Wednesday, September 16, 2009

Sekadar renungan bersama....


Mari kita berfikir sejenak....ketika kita sedang bersantai sambil menghirup milo panas semasa sahur atau sedang duduk bersendirian sambil mengelamun...pada ketika itu pernahkah kita memikirkan tentang ciptaan Allah yang menakjubkan. Pernahkah juga kita fikirkan tentang diri kita, sama ada kita telah bersyukur atau sebaliknya terhadap pemberian Sang Pencipta?

Kita lihat dunia hari ini dikelilingi suasana yang merunsingkan. Semuanya kelihatan serba rakus,pentingkan diri sendiri, yang entah sampai bila dan dimana. Malah bukan setakat itu, jika kita renungkan seketika, dunia pada situasi sekarang semuanya nampak serba cepat. Harinya cepat, minggunya cepat, tahunnya cepat, malah aku kat sini dah masuk tahun kesepuluh diam tak diam. Dalam serba cepat tersebut, pernahkah kita terfikir semuanya berlaku dalam pengetahuan Penciptanya.

Jika kita terus merenung, ada perkara yang sangat hampir dengan kita sendiri, tetapi tidak dapat kita kuasai. Tiada seorang manusiapun yang sedar bilakah waktu sebenarnya dia mula tidur. Dalam erti kata sedar dengan tepat, jam, minit dan saatnya. Yang kita tahu hanya ketika kita mula meletakkan kepala di bantal. Sebenarnya tidur dan jaga adalah suatu keajaiban yang menunjukkan ada yang mentadbirnya. Jaga dan tidur itu seolah-olah bagaikan lampu kalimantang yang adakalanya "on" dan adakala "off". Adakah kita pemetik suisnya? BUKAN! Kalau kita sebagai pemetik suis untuk "on" dan "off" mengapa ada kalanya kita mahu bangun sekian jam, tetapi ada kalanya kita lewat bangun? Dan mengapa kadangkala kita mahu tidur tetapi mata tidak dapat dilelapkan?

Akhirul kalam, kita sedekahkan Al-Fatihah buat guru-guru kita yang telah mendahului kita, semoga Allah menempatkan mereka di kalangan orang-orang yang beriman....Amin.

Tuesday, September 15, 2009

SALAM PERKENALAN

Assalamualaikum, syukur Alhamdulillah akhirnya siap juga blog aku ni, itupun hasil bantuan dan dorongan dari sahabat aku setelah tertangguh sejak sekian lama. Thanx Bro. Adalah menjadi harapan agar kehadiran blog ini dapat dijadikan sebagai satu sumber inspirasi dan kekuatan bagi diriku dalam meneruskan perjuangan dan kerjaya aku sebagai pendidik, Insya Allah . kerana sesungguhnya "AKU CIKGU SEKOLAH " yang ditauliahkan sejak 12 JUN 2000.