Thursday, December 31, 2009

Setahun sudah berlalu....!


Assalamualaikum....setahun sudah berlalu...2009 bakal melabuhkan tirainya 2010 menjelang tiba...tidak dinafikan setahun telah berlalu meninggalkan pelbagai kisah suka dan duka... bagi diriku sebagai pendidik tahun 2009 dianggap antara tahun yang mencabar....terkadang apabila berhadapan dengan situasi yang agak kritikal di sekolah....dunia diluar sana terasa seolah-olah sedang mengejek diriku....sukar untuk melelapkan mata...keheningan malam, begitu menyeksakan sekali....malam dirasakan terlalu lama...diri terasa tewas kepada ujian yang telah Allah tetapkan.....mujurlah ade sebahagian kecil rakan seperjuangan yang turut berkongsi perasaan tersebut khususnya dalam menegakkan erti KEADILAN demi kepentingan agama, bangsa dan negara ...!

Menyedari dan menginsafi hakikat pemberian akal oleh Allah, maka kalau kita gunakannya untuk kebaikan, maka kebaikanlah yang bakal kita peroleh dan begitulah juga sebaliknya. Allah menjadikan segala dugaan untuk menguji tahap keimanan kita. Semakin banyak dugaan hidup sepatutnya semakin kuat daya ketahanan jiwa dan akal atau otak kita berfikir. Sahabatku pernah berkata " Selagi ada hayat, maka selagi itulah ada ikhtiar....selama kita berikhtiar maka ruang-ruang untuk mencari jalan penyelesaian pasti ada...yang paling mustahak ialah keyakinan kita semakin mantap dalam menghadapi pelbagai kemungkinan...!"

Justeru itu selamat menyambut tahun baru 2010 dan mudah-mudahan kita akan menjadi insan yang lebih sabar dan lebih diredhai Allah di kalangan hamba-hambanya....AMIN.

Thursday, December 24, 2009

Panglima Awang


Panglima Awang dipercayai seorang ahli pelayaran Melayu yang hampir berjaya mengelilingi dunia bersama-sama dengan Magellan. Menurut seorang penulis, kisah Panglima Awang bermula apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511. Panglima Awang dengan dibantu oleh Panglima Hitam dan rakan-rakannya cuba menyelamatkan bumi Melaka di sebalik kekurangan peralatan peperangan. Beliau telah ditawan oleh Portugis dan dibawa belayar ke Goa, India untuk dijual kepada saudagar-saudagar asing.

Di dalam pelayaran, beliau telah diletakkan di bawah penjagaan Fernao de Magalhaes (Magellan), pembantu Alfonso de Albuquerque. Disebabkan hubungan Magellan dan Panglima Awang baik, beliau tidak menjualnya, sebaliknya telah membawa Panglima Awang ke Portugal. Di sana beliau dikenali sebagai Henry The Black bagi mengelakkan beliau daripada dibunuh kerana seorang Islam.

Selepas beberapa ketika di Portugal, Magellan telah mengajak Panglima Awang meneruskan pelayaran untuk mencari dunia baru kerana kepercayaannya bahawa dunia ini bulat. Pelayaran mereka bermula di Sepanyol. Di sepanjang pelayaran mereka, kapal tersebut telah singgah di beberapa tempat dan juga pulau-pulau baru seperti Pernambuco di Brazil, Patagonia, Tierra Del Feugo di Amerika Selatan, Pulau Guam dan akhir sekali di pulau Mazzavva yang diperintah oleh kerajaan Cebu. Di sepanjang pelayaran berkenaan Panglima Awang telah diberikan kepercayaan untuk mengemudikan kapal atas keyakinan Magellan.

Di pulau Mazzava, Panglima Awang mendapati penduduknya berbahasa Melayu dan mempunyai iras-iras Melayu. Ini meyakinkannya mereka hampir tiba di Melaka. Hasrat Magellan untuk mengelilingi dunia tidak kesampaian apabila beliau meninggal dunia di Mactan pada 1521. Dengan pertolongan Raja Hamabun dari Pulau Cebu, Panglima Awang telah kembali ke Melaka.

Menurut pengarang kisah Panglima Awang, Panglima Hitam dan Panglima Awang bertemu di Brunei sebelum meneruskan perjalanan. Pelayaran Panglima Awang mengelilingi dunia bermula di Melaka dan dikatakan berakhir juga di Melaka. Ia menunjukkan bahawa telah wujud seorang ahli pelayaran yang agung di nusantara.

Sumber : Melaka Dalam Dunia Maritim.

Monday, December 7, 2009

SEMANGAT PERJUANGAN MELAYU!


Semalam aku meneliti kembali nota kuliah sejarahku dan tertarik dengan lima rangkap pantun yang memaparkan semangat perjuangan orang Melayu Melaka dalam mempertahankan bumi Melaka yang bertuah. Ternyata perjuangan mereka yang tidak pernah kenal erti mengalah itu menjadi nadi utama kebangkitan orang Melayu dalam zamannya bahkan melangkaui zaman berikutnya sehingga membawa kepada kemunculan kerajaan-kerajaan Melayu sesudahnya. Dikhabarkan bait-bait pantun tersebut menggambarkan perjuangan orang Melayu Melaka dibawah kepimpinan Sultan Mahmud serta Tun Fatimah dan diwarisi generasi demi generasi.


Pulau Salak Pulau Sejugi
Ketiga dengan Pulau Pinang
Walaupun lesap mahkota kami
Maruah Melayu takkan hilang

Dari Melaka ke Kuala Linggi
Duduk berhenti melepas lelah
Daripada menyembah orang Peringgi
Eloklah mati berkalung tanah

Walau rumput sudah menjalar
Dahan kayu bercabang juga
Walau laut sudah terbakar
Sampan Melayu belayar juga

Batang nangka batang bergetah
Buahnya besar bercabang tinggi
Orang Melaka pantang menyerah
Orang Kampar berpantang lari

Walaupun rumput mati terlapah
Uratnya tidak mahu tenggelam
Walaupun laut menjadi darah
Semangat Melayu tidakkan padam.


Sumber : Nota Kuliah Sejarah UKM.