Thursday, December 24, 2009

Panglima Awang


Panglima Awang dipercayai seorang ahli pelayaran Melayu yang hampir berjaya mengelilingi dunia bersama-sama dengan Magellan. Menurut seorang penulis, kisah Panglima Awang bermula apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511. Panglima Awang dengan dibantu oleh Panglima Hitam dan rakan-rakannya cuba menyelamatkan bumi Melaka di sebalik kekurangan peralatan peperangan. Beliau telah ditawan oleh Portugis dan dibawa belayar ke Goa, India untuk dijual kepada saudagar-saudagar asing.

Di dalam pelayaran, beliau telah diletakkan di bawah penjagaan Fernao de Magalhaes (Magellan), pembantu Alfonso de Albuquerque. Disebabkan hubungan Magellan dan Panglima Awang baik, beliau tidak menjualnya, sebaliknya telah membawa Panglima Awang ke Portugal. Di sana beliau dikenali sebagai Henry The Black bagi mengelakkan beliau daripada dibunuh kerana seorang Islam.

Selepas beberapa ketika di Portugal, Magellan telah mengajak Panglima Awang meneruskan pelayaran untuk mencari dunia baru kerana kepercayaannya bahawa dunia ini bulat. Pelayaran mereka bermula di Sepanyol. Di sepanjang pelayaran mereka, kapal tersebut telah singgah di beberapa tempat dan juga pulau-pulau baru seperti Pernambuco di Brazil, Patagonia, Tierra Del Feugo di Amerika Selatan, Pulau Guam dan akhir sekali di pulau Mazzavva yang diperintah oleh kerajaan Cebu. Di sepanjang pelayaran berkenaan Panglima Awang telah diberikan kepercayaan untuk mengemudikan kapal atas keyakinan Magellan.

Di pulau Mazzava, Panglima Awang mendapati penduduknya berbahasa Melayu dan mempunyai iras-iras Melayu. Ini meyakinkannya mereka hampir tiba di Melaka. Hasrat Magellan untuk mengelilingi dunia tidak kesampaian apabila beliau meninggal dunia di Mactan pada 1521. Dengan pertolongan Raja Hamabun dari Pulau Cebu, Panglima Awang telah kembali ke Melaka.

Menurut pengarang kisah Panglima Awang, Panglima Hitam dan Panglima Awang bertemu di Brunei sebelum meneruskan perjalanan. Pelayaran Panglima Awang mengelilingi dunia bermula di Melaka dan dikatakan berakhir juga di Melaka. Ia menunjukkan bahawa telah wujud seorang ahli pelayaran yang agung di nusantara.

Sumber : Melaka Dalam Dunia Maritim.

1 comment: