Wednesday, December 26, 2012

MISTERI BUKIT KACHI .....



Peristiwa yang ingin aku imbau kembali ini merupakan antara misteri yang takkan ku lupakan sepanjang berada di STAR. Saban tahun pelajar Tingkatan 5 STAR dan guru-guru STAR akan mengikuti program perkampungan ilmu bertempat di utara sama ada di Perlis Darussunah  ataupun Kedah Darulaman. Kami biasanya menginap di Kem Semarak, Mata Ayer, Perlis mahupun di UUM, Sintok,Kedah. Namun peristiwa yang berlaku semasa perkampungan ilmu di kompleks UUM, Bukit Kachi ini sukar untuk dilupakan. Mangsa dalam kejadian tersebut adalah sahabat ku sendiri Cikgu Shahnun. Semasa kami tiba di rumah tamu tersebut, aku dah mula rasakan sesuatu yang tidak kena. Untuk pengetahuan, guru-guru lelaki di tempatkan di banglo (Rumah Tamu)  dan sebuah banglo lagi khas buat guru-guru perempuan. Para pelajar STAR ditempatkan di kediaman asrama. Setibanya di banglo, Cikgu Zabidi memilih sebuah bilik di bawah, aku berkongsi bilik dengan Cikgu Shahnun dan Cikgu Megat, Cikgu Zulkarnain, Cikgu Zulkifli Din dan Cikgu Mohamad Ibrahim dalam bilik utama serta Ustaz Rusdi di satu bilik yang lain. Kami menaiki tiga bas sekolah yang berasingan. Insiden bermula pada malam tersebut, sekembalinya dari jamuan, bas yang membawa guru wanita melihat kelibat cikgu Shahnun melambai di simpang memasuki kompleks tersebut, padahal beliau berada dalam bas di bahagian belakang. Keadaan cikgu Shahnun semasa dalam baspun agak pelik, senyap tidak bising seperti biasa.

Setibanya di hadapan rumah tamu, semua guru terdiam apabila melihat banglo kami terang benderang dengan lampu, kami pasti yang kami telah menutup lampu sebelum kami bertolak pergi tadi. Apabila aku membuka pendingin hawa dalam bilik kami, aku dan cikgu Megat berpandangan sesama sendiri apabila menyedari hembusan angin dari air cond tersebut berbau "kapur barus" ..... kami buat tidak tahu sahaja,namun bulu roma aku memang meremang sampai ke pangkal tengkuk,  pada masa itu cikgu Shahnun hanya duduk bersila di atas katil sambil menjeling tajam ke arah ku ... aku merasakan sesuatu yang tidak kena pada diri beliau ...lantas aku terus membacakan ayat-ayat suci Al Quran...dia masih merenung aku ....kemudian dia menangis, meronta dan membaling bantal ke arah ku ...melihat keadaan agak tidak terkawal ...aku memanggil ustaz rusdi dan cikgu-cikgu yang lain...bimbang keadaan Cikgu Shahnun yang masih lagi  tidak terkawal dan bertindak agresif....kami memohon bantuan daripada urusetia UUM, mereka telah memanggil seorang ustaz bagi memulihkan cikgu Shahnun ...Alhamdulillah, akhirnya cikgu Shahnun pulih ...menurut ustaz tersebut, makhluk halus tersebut datang dari kawasan bukit di belakang banglo yang kami tinggal tersebut ...urusetia juga memberitahu kawasan rumah tamu yang kami tinggal tu agak keras...dan ramai yang dah terkena sebelum ini...

Pada keesokan harinya, guru-guru perempuan juga diganggu oleh entiti tersebut, Cikgu Umaimah menyatakan barang kosmetik beliau berselerakan di atas meja seolah-olah ade individu yang mengalihkannya. Cikgu Zabidi juga memaklumkan semasa beliau tinggal di bilik bawah berseorangan, katilnya digoncang dan ternampak kelibat rambut panjang di penjuru katil ... Alhamdulillah, selepas kejadian tersebut kami tidak diganggu dan program dapat dilaksanakan dengan jayanya dan kami selamat tiba di STAR dengan selamat...Namun, misteri semasa berada di buki Kachi takkan dapat dilupakan sampai bila-bila ....

No comments:

Post a Comment