Thursday, December 27, 2012

WARISI DARAH PENDIDIK : MAJALAH FOKUS SPM NOV 2012

Majalah Fokus SPM November 2012

Atas memenuhi permintaan sahabat ku yang tidak berkesempatan memiliki majalah Fokus SPM bulan November 2012 keluaran Karangkraf, di bawah ini merupakan kisah tentang ku dalam ruangan DIARI CIKGU ....

IZAHERI WARISI DARAH PENDIDIK

     Masih kamu ingat dengan bait-bait puisi Usman Awang yang bertajuk "Guru oh Guru"? Rangkap terakhirnya berbunyi "jika hari ini, siapa sahaja menjadi dewasa, sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa, dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca." Mulia sungguh seorang pendidik.

      Namun, ada segelintir masyarakat beranggapan mudahnya kerjaya guru hingga tidak setaraf dengan gaji yang diperoleh. Mungkin ada yang kurang sedar bahawa seorang guru yang amat menyanjung amanah di bahu sebenarnya sedang berjuang dengan tugasan yang berat. Guru di Sekolah Menengah Sains Tapah, Perak yang pernah diberi gelaran pakar sejarah ini ada hujahnya.

BERKAT GELARAN ANAK CIKGU

       Izaheri Mohamad Mokhtar, 38, tidak pernah menganggap bahawa kerjaya guru ialah kerjaya pilihan kedua, ketiga dan terakhir. Baginya, darah pendidik yang mengalir dalam tubuh bagaikan sudah menjadi penentu iaitu takdir yang telah tertulis hari ini. 12 tahun menjadi seorang guru, api semangat untuk mendidik anak bangsa masih terus hangat membara.

       "Saya berbangga kerana dibesarkan oleh ayah dan ibu saya yang merupakan pendidik. Secara tidak langsung saya berbangga bergelar "anak cikgu" dan telah didedahkan dengan kehidupan guru sedari kecil lagi. Semasa di sekolah menengah juga, rakan sering menjadikan saya rujukan khususnya dalam subjek sejarah, sehingga di kalangan mereka menggelarkan saya sebagai "pakar sejarah".

      "Alhamdulillah berkat dorongan dan bimbingan kedua ibu bapa tercinta, saya telah menyambung legasi perjuangan mereka sejak tahun 2000. Walaupun tidak dinafikan ada antara individu yang bergelar pendidik mengatakan kerjaya ini adalah pilihan selepas sukar mendapat kerja lain, seharusnya kita yang telah menjadi guru terus mengorak langkah ke arah memartabatkan profesion ini di mata masyarakat," ujar Izaheri.

GURU PERLU KREATIF & INOVATIF

       Menurut bekas Ketua Panitia Sejarah yang kini menjawat Guru Kanan Kemanusiaan ini, keikhlasan merupakan kunci utama untuk mendidik. Seorang guru yang ikhlas dalam mendidik akan memastikan setiap anak didiknya berjaya dan memahami pengajarannya secara tak langsung akan menerbitkan "aura" yang boleh dihayati dan dirasai oleh semua pelajarnya.

       "Setiap sekolah mempunyai tradisi dan budaya pembelajaran tersendiri. Seorang guru yang bermotivasi akan sentiasa meneroka kaedah terbaik dalam pembelajaran sekiranya melihat kesungguhan yang ditunjukkan oleh anak didiknya. Kebolehan menerapkan unsur-unsur humor semasa proses P&P merupakan bonus bagi guru sejarah.

       "Proses P&P juga harus berpusatkan pelajar. Kemahiran memvisualisasi juga mesti diterapkan di kalangan pelajar. Para pelajar harus diberi ruang dan peluang untuk menerangkan peristiwa sejarah. Tanggapan yang mengatakan subjek sejarah agak membosankan tidak sepatutnya timbul. Guru seharusnya bersifat terbuka kreatif dan inovatif," jelasnya.

       Tambah beliau lagi, "kaedah team teaching" juga amat penting. Pengetahuan guru sejarah juga perlu menjangkau lebih daripada apa yang terkandung dalam buku teks sekolah semata-mata. Mereka harus berpengetahuan luas, berkemahiran tinggi,  berkeyakinan tinggi serta bersungguh-sungguh dalam menyampaikan ilmu. Guru sejarah harus bersifat aktif dan proaktif dan sentiasa memikirkan strategi pengajaran paling berkesan.

TIP PINTAR SEJARAH

      Siapa kata subjek sejarah itu membosankan? Jika guru tahu menyemarakkan minat pelajar terhadap ilmu ini, sudah pasti ia menjadi kisah-kisah yang tidak sabar untu dihayati setiap masa. Sebagai seorang yang amat meminati subjek Sejarah, Izaheri ada caranya. "Tiada jalan pintas untuk mencapai kejayaan dalam apa jua bidang yang kita ceburi." Subjek sejarah bukan sekadar untuk dipelajari, diingati dan difahami, malah apa yang lebih penting dihayati. Membaca buku sejarah adalah berbeza dengan membaca komik, novel mahupun majalah. Elakkan amalan "spoon feeding" dan bergantung harap sepenuhnya kepada guru.

     "Para pelajar boleh meneroka pelbagai kaedah pembelajaran seperti belajar secara berkumpulan, guru muda serta menggunakan teknik memori seperti akronim, akrostik, audionim serta cerita kreatif. Pelajar juga harus menguasai teknik mengambil nota yang berkesan seperti peta konsep atau peta minda."

     "Teknik membaca juga harus dikuasai dengan baik kerana membaca sebagai hiburan adalah amat berbeza dengan membaca mendapatkan maklumat atau secara kritikal. Pelajar yang ingin cemerlang seharusnya mendampingi guru supaya pembelajaran lebih berkat dan bermakna, sering bertanya guru di luar dan di dalam kelas juga merupakan antara rahsia pelajar cemerlang, "

PELAJAR NAKAL PERLU DINASIHATI

      Cabaran bagi seorang pendidik ialah dalam memastikan para pelajar memahami apa yang dipelajari. Bukan itu sahaja, guru perlu berdepan dengan tingkah laku para pelajar yang pelbagai. Ada kala boleh "pecah kepala" dibuatnya. Mengulas mengenai perkara ini, Izaheri yang berpengalaman sebagai warden di asrama sekolah berkata "Untuk berhadapan dengan masalah kenakalan pelajar amat memerlukan kebijaksanaan. Saya memupuk hubungan interpersonal yang positif antara guru dan murid. Guru harus berempati dengan murid iaitu sedar dan memahami perasaan murid tanpa dibayangi sifat prejudis.

      "Selain itu, pamerkan teladan baik supaya dicontohi pelajar. Bersikap mesra tidak menjadi masalah asalkan tidak sehingga membiarkan pelajar hilang rasa hormat kepada kita. Ketegasan pula perlu bagi mempastikan segala peraturan dipatuhi. Bagaimanapun guru harus bersikap tabah dan sabar dalam berhadapan dengan pelbagai karenah pelajar."

      "Teruslah menasihati pelajar agar mereka menyedari dan mengakui akan kesilapan mereka, sanggup menerima kritikan dan teguran dan secara tidak langsung akan menimbulkan keinsafan dalam diri mereka."

SUMBER :  Majalah Fokus November 2012

No comments:

Post a Comment