Friday, January 18, 2013

Selamatkan Palestin ....




Tanggal 15 Mei 1948 merupakan peristiwa hitam bagi rakyat palestin dan ummat manusia amnya kerana pada tarikh ini dengan rasminya tertubuh negara haram Israel. Peristiwa ini dikenali sebagai Nakhbah Palestin yang merujuk kepada penubuhan negara haram Israel. Nakhbah bermaksud "malapetaka atau bencana besar".

Peristiwa ini bermula dengan terlaksananya kependudukan dan penjajahan haram oleh regim zionis ke atas tanah dan penduduk asal negara Palestin secara terancang dengan bantuan PBB dan British.

KEZALIMAN DAN KEKEJAMAN REGIM ZIONIS ISRAEL

Negara yang dahulunya aman dan diperintah dengan penuh adil telah dijajah dan diperintah regim zionis dengan berbagai bentuk kekejaman dan kezaliman.

Bumi Palestin pada tahun 1914 diduduki oleh 82% penduduk Islam, 10% kristian dan hanya 8% yahudi yang hanya memiliki 2% tanah. Namun enam dekad berlalu (1948 - 2010), pelbagai kezaliman besar yang dilakukan regim zionis Israel sehingga bumi Palestin porak peranda dan penuh dengan kemusnahan. Sebab utamanya adalah angkara regim zionis yang menceroboh bumi Palestin.

Pada 1947, melalui Resolusi 181 Pelan Pembahagian PBB yang ditolak oleh Palestin telah secara paksa merampas hak penduduk peribumi dan memberikan 55% tanah kepada Yahudi yang sebelumnya tanah milik Yahudi hanya sekitar 6.5% dari keseluruhan bumi Palestin dan orang Yahudi hanya memiliki sebanyak 291 penempatan di tanah milik mereka yang sedikit itu.

Peristiwa Nakhbah (1948) menjadi titik tolak pengusiran rakyat Palestin seramai 750,000 orang dari bumi mereka sendiri dan kini lebih 5 juta rakyat Palestin tinggal di kem-kem sementara di dalam mahupun di luar Palestin. Manakala orang Yahudi di tanah Palestin kini berjumlah 7.33 juta.

Pada tahun 2002, Israel membina tembok pemisah sepanjang 721km menyebabkan 60,500 rakyat Palestin di 42 kampung dan bandar dipaksa berada di kedudukan 'no-man's-land'. Mereka terkurung dan terpisah dari sumber rezeki dan dunia luar.

Pada tahun 2006, Israel melakukan sekatan terhadap Gaza sehingga rakyat palestin terputus pelbagai bekalan keperluan asas seperti makanan, perubatan dan pendidikan.

Pada akhir 2008 pula, sewenang-wenangnya regim zionis menyerang dan membedil Gaza walaupun masyarakat dunia bangun menentang. Lebih 5,000 terbunuh dan 40,000 luka dan parah. Apakah lagi kezaliman yang akan dilakukan zionis Israel?

AL-AQSA DAN UMAT ISLAM

1. Bagi umat Islam, Palestin merupakan tanah yang dirahmati Allah. Ia merupakan kiblat pertama umat Islam sejak solat diwajibkan pada malam Isra' dan Mi'raj. sehinggalah Allah memerintahkan Rasulullah SAW menghadap ke arah Masjidil Haram sebagai kiblat selepas Masjjidil Aqsa dengan firman Allah :

"Dan dari mana sahaja kamu (Muhammad) berangkat, maka hadapkanlah wajahmu  ke arah Masjidil Haram. Dan di mana sahaja kamu berada, maka palingkanlah wajahmu ke arahnya." (Al-Baqarah : 150)

2. Palestin merupakan negeri Isra' Mi'raj, Palestin merupakan negara istimewa kerana telah menjadikan Baitul Maqdis destinasi terakhir perjalanan Isra' di bumi dan permulaan perjalanan mi'raj ke langit.

"Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambanya (Muhammad SAW) pada malam hari dari Masjidil Al-Haraam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."  (al-Isra :1)."

3. Terletaknya Baitul Maqdis iaitu kota besar islam ketiga. Kota besar Islam yang pertama terletak di Mekah dengan adanya Masjidil Haram, manakala kota besar Islam yang kedua adalah Madinah yang dimuliakan dengan adanya masjid Nabawi dan makam Rasulullah SAW  manakala kota besar Islam yang ketiga adalah baitul Maqdis yang dimuliakan Allah dengan adanya Masjidil Aqsa serta kawasan sekelilingnya yang diberkati.

4. Negeri kenabian dan keberkatan. Kerana negeri inilah telah lahirnya ramai para nabi seperti Nabi Ibrahim AS, Nabi Ishaq AS, Nabi Ismail AS, Nabi Yaakub AS, Nabi Musa AS, Nabi Isa AS, nabi Daud AS, Nabi Sulaiman AS dan ramai lagi.

5. Negeri perjuangan. Palestin juga dikenali sebagai buni jihad kerana di situ, terletaknya umat Islam yang teguh berjuang menegakkan kebenaran sehingga hari kiamat,

Sabda Rasulullah SAW " Sekelompok dari umatku akan tetap berada dalam kebenaran yang nyata dan akan mengalahkan musuh-musuh mereka kecuali apabila mereka ditimpa kesusahan, sehingga datang pertolongan dari Allah dan keadaan mereka kembali seperti sedia kala. Para Sahabat bertanya, " Di manakah tempat mereka itu ya Rasulullah SAW?" Baginda menjawab "Di Baitul Maqdis dan di sekitar Baitul Maqdis." .... Hadis diriwayatkan oleh Abdullah ibnu Ahmad dalam Musnad Ahmad.

Kesimpulannya, bumi Palestin dan rakyatnya perlu dibela. Keganasan regim zionis Israel perlu ditentang agar kemusnahan dan kezaliman dapat dihentikan.


SUMBER : AQSA SYARIF

No comments:

Post a Comment