Saturday, March 23, 2013

ALLSENSPIRES : SPM PERTAMA MENGUKIR KENANGAN TERINDAH




Membuka kembali lipatan memori yang telah disimpan kemas di dalam hati, pada tanggal 21 Mac 2012 apabila keputusan SPM 2012 diumumkan SESTA (Sekolah Menengah Sains Tapah) telah dinobatkan sebagai sekolah kedua terbaik di negeri Perak  dalam penyertaan sulungya di gelanggang peperiksaan awam negara. Dewan SESTA juga telah diberi penghormatan dijadikan sebagai tempat pengumuman keputusan SPM bagi negeri Perak..... Nah, nama SESTA telah menggegarkan segenap pelusuk negara dalam siaran berita perdana mahupun paparan akhbar pada keesokan harinya. Seramai 40 pelajar mendapat straight A dalam semua mata pelajaran dan 2 daripada mereka mendapat 9A+ iaitu saudara Zulafifi dan Nurul Syazmeen. Alhamdulillah ...Subjek sejarah juga mencatat keputusan yang memberangsangkan dengan 115 pelajar  mendapat A+, 48 A, 21 A- dan 6 B+ dengan 0.57 (PNG).

Secara jujurnya batch ini iaitu Allsenspires amat dekat di hati ku. Sebagai guru opsyen sejarah yang pertama di sini,  buat pertama kali dalam sejarah perguruanku juga aku telah mengajar mereka satu batch. Masih terbayang wajah-wajah suci mereka pada awal tahun 2011 apabila aku memasuki kelas 4A,4B,4C,4H,4I,4L dan 4R. Buat pertama kali juga aku mengajar pelajar-pelajar perempuan sesuatu yang tak pernah aku lalui sebelum ini, namun berkat darah pendidik yang mengalir dalam diri ini aku dapat laluinya dengan tenang. 

Terlalu banyak kenangan suka, duka, pahit dan manis yang telah aku lalui bersama mereka. Bukan sedikit air mata yang tumpah baik bagi diri ku dan mereka dalam merealisasikan matlamat kecemerlangan dalam SPM. Jiwa ku telah cukup sebati dan abadi dengan tingkah laku dan karenah mereka. Segala bentuk nasihat, teguran, dorongan ku terhadap mereka tidak lain dan tidak bukan hanya untuk mengajar serta membentuk keperibadian dan keyakinan mereka untuk berhadapan dengan realiti kehidupan yang sebenar. Sebagai Penyelaras Tingkatan 5 ibarat Mentor kepada mereka, aku berusaha untuk memastikan anak-anak didik ku ini berada di landasan yang betul...Alhamdulillah...mereka mendengar nasihat ku dan menyahut cabaran ku kepada mereka....ibarat pepatah Melayu ada berkata ..."Susah senang kehidupan adalah warna-warna yang akan mencorakkan pengalaman."

Masih terngiang-ngiang ucapan perpisahan ku kepada mereka semasa Grand Dinner di Dewan Merdeka ..."Selepas ini, cikgu pasti ada antara anda yang bakal menjadi pendidik yang berjiwa besar, doktor berwibawa, jurutera yang hebat, usahawan yang berjaya dan mungkin ada yang bergelar Dato mahupun Tan Sri. Namun ingatlah, kejayaan di dunia ini bukanlah segala-galanya. Sekiranya sudah berjaya dan berharta kelak, jangan kalian lupa tanggungjawab sebagai insan dan janganlah kalian lupakan guru-guru yang telah membentuk dan menjadikan kalian sedemikian rupa."

Begitu pantas masa berlalu, masih terbayang keriuhan, gelak ketawa, arena perdebatan dengan mereka semasa proses P&P dilaksanakan.  Bilik kelas, Bilik Seminar, Pusat Sumber Bestari serta Dewan Sesta menjadi saksi perjuangan kami semua....Sekalung penghargaan dan tahniah buat semua warga Allsenspires atas pencapaian cemerlang dalam SPM 2012. Cikgu berbangga kerana pernah mengisi sebahagian daripada perjalanan hidup kalian semua. Semoga terus sukses dan tabah dalam meniti hari-hari mendatang. Ternyata buku "hikayat Allsenspires"  yang kalian serahkan pada cikgu akan disimpan kemas untuk tatapan dan memori cikgu suatu hari nanti. Ternyata kesudahan hikayat tersebut telah diwarnai dengan tinta emas pada tanggal 21 Mac 2012....Terima kasih Allsenspires ...cikgu mengundur diri.